~Lui Timur~

Petang itu, cuaca mendung menggantikan hari yang terik. Berpeluh-peluh tubuh Samad mengharungi tanah berkerikil diselaputi debu-debu merah menuju ke sebuah desa. Kerana ketiadaan kenderaan, dia terpaksa berjalan kaki sejauh 4 kilometer jalan merah dengan mengangkut dua beg yang sarat dengan pakaiannya. Itulah kali pertama Samad menjejakkan kakinya ke sebuah desa yang terletak jauh di pedalaman.

Dikelilingi kebun getah, cuaca yang mendung tambah menggelapkan lagi pemandangan kawasan sekitar. Beberapa kali Samad menepuk lengan kiri dan kanannya memukul nyamuk yang mengambil kesempatan ke atas tubuhnya. Dia betul-betul tidak selesa dengan keadaan itu. Digagahi juga langkahnya menuju ke kawasan perkampungan. Masih ada baki lagi kira-kira 3 kilometer.

Tekaknya haus, perutnya berdondang sayang. Sejak dari stesen bas tadi dia tidak menjamah apa-apa kerana tergesa-gesa mencari bas. Samad bimbang akan tertinggal bas kerana hari sudah lewat petang. Lagi pun, dia perlu melapor diri di tempat bertugas pada keesokkan harinya.

Ditambah dengan beban yang dibawanya, langkah Samad menjadi sedikit perlahan. Sepanjang laluannya, Samad telah mendaki dan menuruni lima anak bukit. Bahunya lenguh memikul beban yang digalas.

"Ini baru sikit.." Samad memujuk dirinya.

Dia tahu akan ada cabaran yang lebih berat menanti setibanya dia ke desa itu nanti. Perlbagai persoalan bermain di minda mengenai tempat bertugasnya. Samad gagahi tubuhnya melangkah ke hadapan. Hari semakin gelap. Nyamuk kian banyak menghurung dirinya. Gatal digigit sudah tidak dipedulikan lagi. Tubuhnya yang berisi kelihatan bengkak di merata tempat kesan diratah nyamuk kebun getah.

Guruh di langit mula berdentum disusuli kilat menerangi kawasan sekitar kebun getah yang semakin gelap. Hujan renyai-renyai mulai turun. Samad tiada pilihan. Dia mempercepatkan langkahnya. Tubuhnya sudah mula dibasahi hujan. Samad kesejukan. Hari semakin gelap. Perutnya kelaparan.

Kakinya mula dipalit tanah merah yang basah. Pakaiannya yang berdebu merah bagai bermandi darah apabila ditimpa hujan. Langkahnya semakin berat. Samad mengunci mulutnya. Dia tidak mahu emosi menguasai dirinya. Dia tidak mahu merungut atas apa yang terjadi ke atas dirinya pada hari tersebut. Semua itu adalah pilihannya. Sewaktu ditemuduga dahulu, Samad sendiri menyatakan kesanggupannya ditugaskan di mana-mana sahaja.

Dari atas bukit, Samad sudah boleh lihat sebuah perkampungan kecil. Bibirnya mengukir sedikit senyuman. Samad teruskan langkah. Tiba di pintu gerbang kawasan kampung, kelihatan seorang lelaki dengan sebuah basikal tua berdiri dengan sebuah payung. Lelaki itu melambai kepadanya. Samad tersenyum lantas membalas lambaian itu.

"Dah lama tunggu?.." Samad menyapa.

"Taklah.. Maaf ya, nak. Pak cik tak dapat nak jemput di simpang masuk.."

"Hujan lebat, motor pak cik pula rosak. Surat pun baru sampai lepas Asar tadi.." tambah lelaki itu.

"Tak mengapa.." balas Samad sambil tersenyum.

"Mesti anak ni keletihan. Mari pak cik tunjukkan tempat tinggalnya.." pelawa lelaki itu.

Malam itu, Samad kelaparan dalam kesejukan. Namun, dia tiada selera untuk menjamah walau secubit makanan pun. Dia berasa letih. Fikirannya menerawang jauh. Barangkali, memikirkan keluarga yang ditinggalkan beratus-ratus kilometer jauhnya. Barangkali memikirkan nasibnya pada esok hari pula. Samad cuba membayangkan persekitaran tempatnya bertugas esok. Keadaan bangunan tempat dia akan menurunkan segala ilmu di dada. Samad membayangkan ratusan anak orang yang akan dididiknya menjadi manusia. Namun, tiada jawapan pada bayangan imaginasinya itu.

Malam semakin gelap. Samad cuma ditemani lampu gasolin yang semakin malap. Bunyi cengkerik dan nyamuk, sesekali ditambah suara cicak menjadi melodi yang meruntun jiwa Samad. Fikirannya menerawang terlalu jauh sehingga menimbulkan rasa seram dalam diri di kala malam yang semakin dingin diikuti suara anjing yang bersahut-sahutan.

Samad berasa semakin gatal digigit nyamuk. Ditariknya gebar yang besar dan tebal menyelimuti tubuhnya dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Samad cuba melelapkan mata. Kepenatan menjadikannya mudah untuk tidur. Samad lena dalam gelap malam. Samad lena tatkala dirinya dihurung nyamuk. Samad lena beralaskan tikar dan berbantalkan beg pakaian. Esok adalah permulaan perjalanan hidupnya di desa itu. Selamat malam Samad.

~TAMAT~

~Seteguh Kasihmu~


Pagi itu selesai menunaikan solat subuh, Amar segera bersiap dan keluar rumah menuju ke sebuah bangunan yang sederhana besar yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumahnya.

"Terima kasih, encik.." kata pengawal bangunan itu ketika Amar menghulurnya sedikit makanan untuk sarapan pagi sebelum dia keluar dari perkarangan kawasan itu.

"Sama-sama.." balas Amar.

"Petang ni encik datang lagi?.." soalnya semula.

"Ya, macam biasa.." jawab Amar ringkas.

Kemudian, dia memecut keretanya menuju ke tempat kerja. Begitulah rutin harian Amar pada setiap hari seawal jam 6.00 pagi sebelum dia kembali memandu ke tempat kerjanya yang terletak di kawasan segi tiga emas.

"Awal kau sampai pagi ni?.." tegur Jefri sejurus sahaja Amar keluar dari kenderaannya.

"Biasalah, Jef. Kalau aku keluar lambat nanti, jalan sesak pulak. Haha.." balas Amar sambil menepuk bahu Jefri.

Jefri tersenyum. Dia merenung Amar. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang dikaguminya. Amar menyedari hal itu lalu menegurnya.

"Hah, ni kenapa tengok aku macam ni pulak?.."

"Bukan apa, aku kesian la dengan kau..tapi kenapa.." ujar Jefri memulakan bicara.

"Dah lewat ni, jom ke pejabat.." balas Amar sambil berjalan menuju ke pintu pejabat.

Jefri masih tercegat berdiri di tempat letak kereta. Matanya memerhatikan sahaja langkah sahabatnya menuju ke pejabat. Dia sememangnya sudah kenal dengan sikap Amar, sahabat yang dikenalinya sejak dari tingkatan tiga dahulu. Dia bekerja di syarikat ini pun atas pertolongan Amar. kalau tidak, sampai ke tualah dia 'menanam anggur' di kampung.

Jefri sememangnya terhutang budi dengan Amar. Tidak pernah dikala dia susah, Amar tidak menolongnya. Bukan Jefri sahaja. Malah, sesiapa jua rakan sepejabat yang alami masalah akan 'mengadu' pada Amar. Amar pula tidak 'segan silu' membantu. Sikap Amar yang rajin dan peramah itu memang disenangi semua orang.

Namun, sejak kebelakangan ini, Jefri mula mendapati perubahan dalam diri Amar. Terlalu banyak yang berubah. Amar tidak lagi seceria seperti dahulu. Sebab itulah ketika Jefri memulakan bicara tadi, Amar cepat-cepat memotong kata-katanya. Jefri menyedari keadaan itu. Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukannya.

"Dah pukul 8.00, Jef!.." teriak Amar dari jauh.

"Aku harap kau akan bertahan, Amar.." bisik hati Jefri.

"Ya!, aku datanglah.." Jefri membalas. Dia kemudiannya bergerak menuju ke pejabat.

Hari itu berlalu dengan pantas. Semua orang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Waktu makan tidak lagi menjadi keutamaan. Yang penting, kerja dapat disiapkan pada hari itu juga. Amar sibuk memasukkan data-data syarikat yang masih belum menjelaskan tunggakan bayaran sewa premis dan membuat kira-kira. Di hadapannya melambak kertas-kertas bersaiz A3 berupa data untuk disemak dan dikemas-kini.

Kesibukannya sejak dari pagi tadi disedari Anita, rakan sepejabat yang sekian lama memendam perasaan terhadap jejaka itu. Ingin saja didekati jejaka itu. Tetapi, memandangkan masing-masing sibuk dengan tugas, Anita membatalkan hasrat hatinya.

Petang itu, selesai sudah sebahagian daripada kerja syarikat yang diamanahkan. Amar berkemas dan bersiap-siap untuk pulang. Kesempatan itu digunakan Anita untuk mendekatinya.

"Amar, kita keluar makan malam ni?.. Jef dan Yana pun ada sekali.. Jom la ikut kita orang.." ujar Anita mengharap.

"Maaflah, Nita. Malam ni aku ada hal..Lain kali okey?.." balas Amar dengan senyuman.

Anita membalas senyuman itu. Tetapi, tawar. Sekian lama dia menantikan jawapan yang pasti daripada Amar. Namun, setiap kali itulah Amar menolaknya. Namun, Anita tidak berkecil hati. Dia tahu mengapa Amar menolak pelawaannya. Lagi pun, Amar menolaknya secara baik. Amar segera keluar dari pejabat menuju ke keretanya. Kemudian, dia terus memecut keretanya menuju ke bangunan yang didatanginya pagi tadi.

Anita sekadar memerhatikannya dari tingkat lapan pejabat tempat mereka bekerja. Ada sedikit rasa terkilan di hatinya berkenaan jejaka yang diminatinya. Jefri yang sedari tadi memerhatikan gelagat Anita segera menghampiri.

"Sampai bila agaknya dia akan jadi macam tu?.." luah Anita

"Cinta tak boleh dipaksa.."

"Apa kurangnya aku ni Jef??.."

"kau tak kurang apa-apa pun..Kau sempurna Anita.."

"Habis tu?..Sampai bila aku kena tunggu?.."

"Entahlah.."

"Boleh aku tau kenapa dia selalu ke sana?.. Apa yang ada dalam bangunan buruk tu?.." soal Anita.

"Di sana ada kehidupan dia..tak perlulah kau tau.."

"Please, Jef.." rayu Anita.

Jefri merenung wajah gadis itu. Seperti menanggung beban yang teramat berat, Jefri turut berasa kasihan melihatnya. Tidak sanggup melihat gadis itu terus mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan dimilikinya. Jefri menyedari hal itu. Dia tidak lagi mampu menyimpan rahsia Amar. Baginya, biarlah Anita mengetahuinya juga agar gadis itu tidak akan terus berharap.

"Ok.." balas Jefri ringkas.

Petang itu, Jefri membawa Anita menuju ke destinasi persinggahan Amar pada setiap pagi dan petang. Perjalanan mereka kerap terhenti akibat kesesakan jalan raya. Sepanjang perjalanan, tiada apa yang hendak dibualkan. Fikiran masing-masing berkecamuk. Perasaan bercampur baur. Anita kelihatan tidak senang duduk dan resah lebih-lebih lagi apabila mereka kian menghampiri kawasan itu. Tepat jam 8.00 malam, mereka berdua tiba di bangunan itu.

Setelah meletakkan kenderaan, Jefri dan Anita mendapatkan pas pelawat di pondok pengawal. Dari situ juga mereka dapat melihat sebuah kereta Honda Civic warna putih tidak jauh dari tempat mereka meletakkan kenderaan. Tahulah mereka siapa pemilik kenderaan tersebut.

"Waktu melawat habis pukul 9.00, encik.." kata pengawal

"Terima kasih.." balas Anita dengan senyuman dan terus berlalu.

"Nanti.." kata Jefri sambil pantas menarik tangan Anita. Anita tersentak. Pengawal keselamatan itu segera keluar dari pondoknya. Memerhatikan gelagat sepasang pelawatnya yang baru tiba.

"Tu..tengok tu.." ujar Jefri sambil menunjukkan sesuatu ke arah sebuah blok bangunan bersebelahan tempat mereka berdiri.

Dari situ mereka dapat melihat sebuah bilik besar di tingkat bawah yang terang benderang. Di dalamnya kelihatan beberapa orang sedang mundar-mandir, terbaring di lantai, terlompat-lompatdi atas katil, menangis, berteriak dan berguling-guling. Mata Anita meliar mencari sesuatu di dalamnya. Kemudian tumpuan mata mereka beralih di satu sudut dalam bilik besar itu.

Pemandangan Alia dan Jefri mati di situ. Mereka dapat melihat kelibat seorang lelaki sedang menyikat rambut seorang wanita yang sedang asyik bermain dengan anak patung. Kemudian, lelaki itu menyuapkannya makanan. Sambil menyuapkan makanan, lelaki itu membelai rambut dan mengusap-usap pipi wanita itu. Tiba-tiba, wanita itu menjerit dan menangis sekuat hati sambil memeluk anak patungnya. Lelaki itu segera memeluk untuk menenangkannya.

"Kesian.." ujar pengawal itu.

"Setiap pagi dan petang Encik Amar akan singgah ke sini. Hantar makanan dan melawat isterinya.." tambahnya lagi.

Anita tergamam mendengar kenyataan itu. Matanya terus memerhatikan drama di dalam bilik besar itu dari luar. Jefri menyedarinya dan membiarkan Anita bersendirian. Dia berundur selangkah ke belakang mendapatkan pengawal keselamatan itu.

"Macam mana keadaannya..?" soal Jefri perlahan

"Tak berubah encik..macam dulu jugak.." jawab pengawal tersebut ringkas.

"Memang kesian, lima tahun tunggu nak dapat anak..bila dah dapat, sekelip mata Tuhan ambil balik.." tambahnya lagi.

"Itulah satu-satunya anak mereka.." balas Jefri.

"Ibu mana yang boleh terima bila tengok anak sendiri mati depan mata, encik?.." tambah pengawal itu lagi.

Anita sekali lagi tersentak mendengar perbualan tersebut. Matanya mulai berair. Namun, masih tidak berkelip sejak dari tadi sambil memerhatikan gelagat lelaki itu yang sedang membelai seorang wanita dalam pelukannya.

"Encik ni satu tempat kerja ke?.." soal pengawal itu pula.

Jefri sekadar mengangguk.

"Encik tak nak masuk?.."

"Eh, tak apalah..kami singgah sekejap saja.."

"Terima kasih, encik. Kami nak balik dulu.." ujar Jefri lagi sambil menyerahkan kembali pas pelawat.

Dia kemudiannya mencuit bahu Anita dan bergerak menuju ke kereta. Anita mengekorinya dari belakang. Jefri memandu keluar dari perkarangan kawasan tersebut. Dalam perjalanan pulang, Anita tidak henti-henti menangis. Jefri membiarkannya. Jauh di sudut hatinya terbit rasa bersalah kerana membawa Anita ke tempat tersebut. Namun, dia berharap agar Anita akan dapat mengetahui sesuatu mengenai Amar iaitu kasih sayang seorang suami terhadap isterinya tidak akan luntur walau dipalit seribu duka.

~TAMAT~


    Waktu Belalang

    Kalendar Belalang

    Komuniti Belalang

    Yahoo! Belalang

    Tuan Tulis


    Tetamu Belalang1

    hit counter


    Tetamu Belalang2

    visitors by country counter


    Subscriber Belalang

    Pengikut Belalang

    Promote Belalang

    Sembang Belalang



    Blog ini..

    Ranking Belalang

    Calculator Belalang

    Currency Belalang

    Muzik Belalang