~Lui Timur~

Petang itu, cuaca mendung menggantikan hari yang terik. Berpeluh-peluh tubuh Samad mengharungi tanah berkerikil diselaputi debu-debu merah menuju ke sebuah desa. Kerana ketiadaan kenderaan, dia terpaksa berjalan kaki sejauh 4 kilometer jalan merah dengan mengangkut dua beg yang sarat dengan pakaiannya. Itulah kali pertama Samad menjejakkan kakinya ke sebuah desa yang terletak jauh di pedalaman.

Dikelilingi kebun getah, cuaca yang mendung tambah menggelapkan lagi pemandangan kawasan sekitar. Beberapa kali Samad menepuk lengan kiri dan kanannya memukul nyamuk yang mengambil kesempatan ke atas tubuhnya. Dia betul-betul tidak selesa dengan keadaan itu. Digagahi juga langkahnya menuju ke kawasan perkampungan. Masih ada baki lagi kira-kira 3 kilometer.

Tekaknya haus, perutnya berdondang sayang. Sejak dari stesen bas tadi dia tidak menjamah apa-apa kerana tergesa-gesa mencari bas. Samad bimbang akan tertinggal bas kerana hari sudah lewat petang. Lagi pun, dia perlu melapor diri di tempat bertugas pada keesokkan harinya.

Ditambah dengan beban yang dibawanya, langkah Samad menjadi sedikit perlahan. Sepanjang laluannya, Samad telah mendaki dan menuruni lima anak bukit. Bahunya lenguh memikul beban yang digalas.

"Ini baru sikit.." Samad memujuk dirinya.

Dia tahu akan ada cabaran yang lebih berat menanti setibanya dia ke desa itu nanti. Perlbagai persoalan bermain di minda mengenai tempat bertugasnya. Samad gagahi tubuhnya melangkah ke hadapan. Hari semakin gelap. Nyamuk kian banyak menghurung dirinya. Gatal digigit sudah tidak dipedulikan lagi. Tubuhnya yang berisi kelihatan bengkak di merata tempat kesan diratah nyamuk kebun getah.

Guruh di langit mula berdentum disusuli kilat menerangi kawasan sekitar kebun getah yang semakin gelap. Hujan renyai-renyai mulai turun. Samad tiada pilihan. Dia mempercepatkan langkahnya. Tubuhnya sudah mula dibasahi hujan. Samad kesejukan. Hari semakin gelap. Perutnya kelaparan.

Kakinya mula dipalit tanah merah yang basah. Pakaiannya yang berdebu merah bagai bermandi darah apabila ditimpa hujan. Langkahnya semakin berat. Samad mengunci mulutnya. Dia tidak mahu emosi menguasai dirinya. Dia tidak mahu merungut atas apa yang terjadi ke atas dirinya pada hari tersebut. Semua itu adalah pilihannya. Sewaktu ditemuduga dahulu, Samad sendiri menyatakan kesanggupannya ditugaskan di mana-mana sahaja.

Dari atas bukit, Samad sudah boleh lihat sebuah perkampungan kecil. Bibirnya mengukir sedikit senyuman. Samad teruskan langkah. Tiba di pintu gerbang kawasan kampung, kelihatan seorang lelaki dengan sebuah basikal tua berdiri dengan sebuah payung. Lelaki itu melambai kepadanya. Samad tersenyum lantas membalas lambaian itu.

"Dah lama tunggu?.." Samad menyapa.

"Taklah.. Maaf ya, nak. Pak cik tak dapat nak jemput di simpang masuk.."

"Hujan lebat, motor pak cik pula rosak. Surat pun baru sampai lepas Asar tadi.." tambah lelaki itu.

"Tak mengapa.." balas Samad sambil tersenyum.

"Mesti anak ni keletihan. Mari pak cik tunjukkan tempat tinggalnya.." pelawa lelaki itu.

Malam itu, Samad kelaparan dalam kesejukan. Namun, dia tiada selera untuk menjamah walau secubit makanan pun. Dia berasa letih. Fikirannya menerawang jauh. Barangkali, memikirkan keluarga yang ditinggalkan beratus-ratus kilometer jauhnya. Barangkali memikirkan nasibnya pada esok hari pula. Samad cuba membayangkan persekitaran tempatnya bertugas esok. Keadaan bangunan tempat dia akan menurunkan segala ilmu di dada. Samad membayangkan ratusan anak orang yang akan dididiknya menjadi manusia. Namun, tiada jawapan pada bayangan imaginasinya itu.

Malam semakin gelap. Samad cuma ditemani lampu gasolin yang semakin malap. Bunyi cengkerik dan nyamuk, sesekali ditambah suara cicak menjadi melodi yang meruntun jiwa Samad. Fikirannya menerawang terlalu jauh sehingga menimbulkan rasa seram dalam diri di kala malam yang semakin dingin diikuti suara anjing yang bersahut-sahutan.

Samad berasa semakin gatal digigit nyamuk. Ditariknya gebar yang besar dan tebal menyelimuti tubuhnya dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Samad cuba melelapkan mata. Kepenatan menjadikannya mudah untuk tidur. Samad lena dalam gelap malam. Samad lena tatkala dirinya dihurung nyamuk. Samad lena beralaskan tikar dan berbantalkan beg pakaian. Esok adalah permulaan perjalanan hidupnya di desa itu. Selamat malam Samad.

~TAMAT~

2 Responses
  1. Anonymous Says:

    ada sambungan lg x??


  2. Mr.Belalang Says:

    Ada sambungan, tapi saja tak nak tulis cerita panjang sangat dalam blog ni..


    Waktu Belalang

    Kalendar Belalang

    Komuniti Belalang

    Yahoo! Belalang

    Tuan Tulis


    Tetamu Belalang1

    hit counter


    Tetamu Belalang2

    visitors by country counter


    Subscriber Belalang

    Pengikut Belalang

    Promote Belalang

    Sembang Belalang



    Blog ini..

    Ranking Belalang

    Calculator Belalang

    Currency Belalang

    Muzik Belalang