Novel : Semalam Yang Hangat - bab 1 : episod 2

Kedinginan pada pagi itu boleh dirasai hingga ke tulang sum-sum. Gebar yang besar dan tebal tidak cukup untuk menyelimuti tubuh Said. Kakinya ditarik rapat ke tubuh. Keadaannya tak ubah seperti udang.

"Said!, bangun nak.. Dah pagi ni.." Leha melaung dari dapur.

Said yang kesejukan semakin enak tidurnya tatkala tubuhnya dibaluti selimut tebal . Badannya masih penat. Menyedari Said masih tidak berganjak dari tempat tidurnya, Leha segera naik ke bilik mengejutkannya.

Perlahan-lahan Said bangun dan mengeliat. Matanya masih terkatup rapat. Kepalanya kejap-kejap tersengguk ke depan ke belakang. Leha tersenyum melihat telatah anaknya lantas mencuit perut Said yang membulat itu. Said melatah. Badannya meliuk-liuk seperti ikan keluar dari air kerana geli.

"Alahai, mak ni..Said nak tidur pun tak senang.." rengek Said manja.

"Dah, jangan nak mengada. Pergi mandi. Nanti kesiangan.."

"Hari ni Said cuti boleh tak? Said penatlah mak.." Said merungut.

"Takpe. Hari ni Said pergi sekolah macam biasa. Malam ni tak payah ikut Wak Man ye.." Leha memujuk sambil mengusap kepala anaknya.

Said bingkas bangun dan mandi. Selepas bersiap, dia terus menuju ke dapur. Sarapannya pagi itu adalah seperti hari-hari yang sebelumnya. Biskut kering dan air suam.

Selesai bersarapan, kedua-dua beranak itu pun keluar rumah. Said akan menunggu van pak cik Din untuk ke sekolah. Sementara Leha pula akan ke kebun untuk menoreh.

Leha mengambil upah menoreh di kebun Haji Ramli dengan upah yang tidak menentu. Semuanya bergantung kepada harga pasaran semasa getah dan cuaca yang tidak menentu. Kadang-kadang hujan hingga dua tiga hari. Jadi, tiga harilah Leha tidak bergaji.

Tiga hari jugalah mereka dua beranak sekadar makan nasi berlaukkan pucuk ubi rebus. Kadang-kadang keperluan harian mereka terputus. Terpaksa meminta sedekah daripada jiran yang berdekatan.

"Wei! budak busuk dah sampai!.."

"Ha!..ha!..ha!..ha!.."

"Said budak busuk!..Said budak busuk!..Said budak busuk!.."

"Ha!..ha!..ha!..ha!.."

Said diam. Dia tersenyum pahit. Dirinya sudah biasa diejek sebegitu setiap pagi ketika menunggu van pak cik Din. Kepalanya tunduk memandang ke bumi. Dia memandang kasutnya yang dipalit kekotoran. Kasut pemberian ibunya yang selama ini dijaga rapi.

Namun, setiap kali hendak ke sekolah, datang sekumpulan rakan-rakannya akan mengejek, memukul dan memijak kasutnya. Said tidak mampu melawan. Tubuhnya tidaklah sebesar rakan-rakan seusia dengannya.

Sebab itulah setiap kali tiba di sekolah, Said akan dipanggil oleh guru disiplin kerana keadaannya yang comot, berbau dan kotor. Said cuba melawan. Namun, kudratnya tidaklah sekuat lima orang rakan yang selalu membulinya.

“Biarkanlah orang nak kata apa pun, Said..” pesan ibunya sewaktu Said mengadu dibuli.

“Buat-buat tak dengar je. Nanti lama-lama dia orang diam la tu..”

“Kita ni orang susah. Semua orang tak suka kita. Biarkanlah. Yang penting kita tak kacau orang lain..” pujuk ibunya sambil mengusap-usap kepala anak kesayangannya.

Teringatkan pesanan ibunya, Said sekadar mampu menggenggam erat buku lima menahan marah setiap kali dirinya diejek dan pakaiannya dikotorkan. Setiap kali kasutnya dipijak-pijak, Said hanya mampu mengedipkan kelopak mata menahan air mata daripada berguguran.

Tatkala begnya dicampak-campak oleh rakan-rakannya, Said sekadar mampu memandang dan mengutipnya semula. Hampir setiap pagi Said berpeluh akibat dibuli rakan-rakannya. Dalam dirinya, tidak guna melawan kerana dia sedar pertengkaran akan membawa kepada keburukan. Said membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sedemikian.

Kasihan Said diperlakukan sedemikian. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia menjadi mangsa buli. Tiada seorang pun daripada rakan-rakannya yang menolong setiap kali dia dibuli. Perasaannya bercampur. Sedih,geram, marah dan benci apabila diperlakukan sedemikian dan dia tidak diizinkan oleh ibunya untuk membalas.

“Hei!, Said. Kau tu dah la bodoh. Buat apalah kau pergi ke sekolah?..” ujar salah seorang daripada rakannya sambil menolak Said hingga dia jatuh ke bahu jalan.

“Kalau pergi sekolah pun, kau bukannya nak belajar. Buang masa je..” sambung rakannya yang lain lalu merampas beg sandang Said.

“Ha.ha.ha. Tengok, beg ni ringan je. Entah apalah yang kau bawak ni, Said..” tambahnya lalu menyelongkar beg itu.

Said cuba mendapatkan begnya semula. Namun, beg itu segera dicampakkan ke rakannya yang lain. Apabila Said cuba mendapatkannya, sekali lagi beg itu dicampakkan ke tempat lain. Berpeluh-peluh Said ketika dia cuba mendapatkan begnya.

Ketika van pak cik Din tiba, beg itu dilemparkan sekuat hati oleh rakannya sehingga ke seberang jalan. Said cuba mengambilnya sekali lagi. Di saat itu, dia telah disepak berkali – kali. Said jatuh tersungkur. Bajunya kotor terkena tanah merah.

Kasihan. Said bangun lalu mencapai begnya. Kemudian, dia cuba memasuki van pak cik Din. Namun, telah dihalang oleh pembuli tadi.

“Keluar kau!. Aku tak nak naik dengan orang yang busuk dan kotor macam kau ni!..”

“Apa bising-bising ni?. Cepat naik, pak cik nak ambil orang lain lagi..” ujar Pak Din.

“Kau ni, Akmal, Sayfiq. Kalau tak buli orang tak boleh ke hah?!..” tegurnya.

“Nanti Pak Din bagi tau dengan Guru Besar. Biar padan muka awak pulak.” ujarnya lagi disertai amaran keras.

“Dah. Said, naik cepat..”

Said segera naik. Pak Din kemudiannya menutup rapat pintu van itu dan bergerak menuju ke sekolah yang jaraknya kira-kira 7 kilometer dari kawasan kampung. Dalam perjalanan, Said sedaya upaya membersihkan pakaiannya. Dia tidak mahu dikenakan hukuman oleh guru disiplin semasa perhimpunan pagi nanti. Namun, kesan akibat kotoran tanah merah jelas kelihatan pada baju dan seluarnya.
0 Responses

    Waktu Belalang

    Kalendar Belalang

    Komuniti Belalang

    Yahoo! Belalang

    Tuan Tulis


    Tetamu Belalang1

    hit counter


    Tetamu Belalang2

    visitors by country counter


    Subscriber Belalang

    Pengikut Belalang

    Promote Belalang

    Sembang Belalang



    Blog ini..

    Ranking Belalang

    Calculator Belalang

    Currency Belalang

    Muzik Belalang