Novel : Semalam Yang Hangat - bab 1 : episod 2

Kedinginan pada pagi itu boleh dirasai hingga ke tulang sum-sum. Gebar yang besar dan tebal tidak cukup untuk menyelimuti tubuh Said. Kakinya ditarik rapat ke tubuh. Keadaannya tak ubah seperti udang.

"Said!, bangun nak.. Dah pagi ni.." Leha melaung dari dapur.

Said yang kesejukan semakin enak tidurnya tatkala tubuhnya dibaluti selimut tebal . Badannya masih penat. Menyedari Said masih tidak berganjak dari tempat tidurnya, Leha segera naik ke bilik mengejutkannya.

Perlahan-lahan Said bangun dan mengeliat. Matanya masih terkatup rapat. Kepalanya kejap-kejap tersengguk ke depan ke belakang. Leha tersenyum melihat telatah anaknya lantas mencuit perut Said yang membulat itu. Said melatah. Badannya meliuk-liuk seperti ikan keluar dari air kerana geli.

"Alahai, mak ni..Said nak tidur pun tak senang.." rengek Said manja.

"Dah, jangan nak mengada. Pergi mandi. Nanti kesiangan.."

"Hari ni Said cuti boleh tak? Said penatlah mak.." Said merungut.

"Takpe. Hari ni Said pergi sekolah macam biasa. Malam ni tak payah ikut Wak Man ye.." Leha memujuk sambil mengusap kepala anaknya.

Said bingkas bangun dan mandi. Selepas bersiap, dia terus menuju ke dapur. Sarapannya pagi itu adalah seperti hari-hari yang sebelumnya. Biskut kering dan air suam.

Selesai bersarapan, kedua-dua beranak itu pun keluar rumah. Said akan menunggu van pak cik Din untuk ke sekolah. Sementara Leha pula akan ke kebun untuk menoreh.

Leha mengambil upah menoreh di kebun Haji Ramli dengan upah yang tidak menentu. Semuanya bergantung kepada harga pasaran semasa getah dan cuaca yang tidak menentu. Kadang-kadang hujan hingga dua tiga hari. Jadi, tiga harilah Leha tidak bergaji.

Tiga hari jugalah mereka dua beranak sekadar makan nasi berlaukkan pucuk ubi rebus. Kadang-kadang keperluan harian mereka terputus. Terpaksa meminta sedekah daripada jiran yang berdekatan.

"Wei! budak busuk dah sampai!.."

"Ha!..ha!..ha!..ha!.."

"Said budak busuk!..Said budak busuk!..Said budak busuk!.."

"Ha!..ha!..ha!..ha!.."

Said diam. Dia tersenyum pahit. Dirinya sudah biasa diejek sebegitu setiap pagi ketika menunggu van pak cik Din. Kepalanya tunduk memandang ke bumi. Dia memandang kasutnya yang dipalit kekotoran. Kasut pemberian ibunya yang selama ini dijaga rapi.

Namun, setiap kali hendak ke sekolah, datang sekumpulan rakan-rakannya akan mengejek, memukul dan memijak kasutnya. Said tidak mampu melawan. Tubuhnya tidaklah sebesar rakan-rakan seusia dengannya.

Sebab itulah setiap kali tiba di sekolah, Said akan dipanggil oleh guru disiplin kerana keadaannya yang comot, berbau dan kotor. Said cuba melawan. Namun, kudratnya tidaklah sekuat lima orang rakan yang selalu membulinya.

“Biarkanlah orang nak kata apa pun, Said..” pesan ibunya sewaktu Said mengadu dibuli.

“Buat-buat tak dengar je. Nanti lama-lama dia orang diam la tu..”

“Kita ni orang susah. Semua orang tak suka kita. Biarkanlah. Yang penting kita tak kacau orang lain..” pujuk ibunya sambil mengusap-usap kepala anak kesayangannya.

Teringatkan pesanan ibunya, Said sekadar mampu menggenggam erat buku lima menahan marah setiap kali dirinya diejek dan pakaiannya dikotorkan. Setiap kali kasutnya dipijak-pijak, Said hanya mampu mengedipkan kelopak mata menahan air mata daripada berguguran.

Tatkala begnya dicampak-campak oleh rakan-rakannya, Said sekadar mampu memandang dan mengutipnya semula. Hampir setiap pagi Said berpeluh akibat dibuli rakan-rakannya. Dalam dirinya, tidak guna melawan kerana dia sedar pertengkaran akan membawa kepada keburukan. Said membiarkan sahaja dirinya diperlakukan sedemikian.

Kasihan Said diperlakukan sedemikian. Boleh dikatakan hampir setiap hari dia menjadi mangsa buli. Tiada seorang pun daripada rakan-rakannya yang menolong setiap kali dia dibuli. Perasaannya bercampur. Sedih,geram, marah dan benci apabila diperlakukan sedemikian dan dia tidak diizinkan oleh ibunya untuk membalas.

“Hei!, Said. Kau tu dah la bodoh. Buat apalah kau pergi ke sekolah?..” ujar salah seorang daripada rakannya sambil menolak Said hingga dia jatuh ke bahu jalan.

“Kalau pergi sekolah pun, kau bukannya nak belajar. Buang masa je..” sambung rakannya yang lain lalu merampas beg sandang Said.

“Ha.ha.ha. Tengok, beg ni ringan je. Entah apalah yang kau bawak ni, Said..” tambahnya lalu menyelongkar beg itu.

Said cuba mendapatkan begnya semula. Namun, beg itu segera dicampakkan ke rakannya yang lain. Apabila Said cuba mendapatkannya, sekali lagi beg itu dicampakkan ke tempat lain. Berpeluh-peluh Said ketika dia cuba mendapatkan begnya.

Ketika van pak cik Din tiba, beg itu dilemparkan sekuat hati oleh rakannya sehingga ke seberang jalan. Said cuba mengambilnya sekali lagi. Di saat itu, dia telah disepak berkali – kali. Said jatuh tersungkur. Bajunya kotor terkena tanah merah.

Kasihan. Said bangun lalu mencapai begnya. Kemudian, dia cuba memasuki van pak cik Din. Namun, telah dihalang oleh pembuli tadi.

“Keluar kau!. Aku tak nak naik dengan orang yang busuk dan kotor macam kau ni!..”

“Apa bising-bising ni?. Cepat naik, pak cik nak ambil orang lain lagi..” ujar Pak Din.

“Kau ni, Akmal, Sayfiq. Kalau tak buli orang tak boleh ke hah?!..” tegurnya.

“Nanti Pak Din bagi tau dengan Guru Besar. Biar padan muka awak pulak.” ujarnya lagi disertai amaran keras.

“Dah. Said, naik cepat..”

Said segera naik. Pak Din kemudiannya menutup rapat pintu van itu dan bergerak menuju ke sekolah yang jaraknya kira-kira 7 kilometer dari kawasan kampung. Dalam perjalanan, Said sedaya upaya membersihkan pakaiannya. Dia tidak mahu dikenakan hukuman oleh guru disiplin semasa perhimpunan pagi nanti. Namun, kesan akibat kotoran tanah merah jelas kelihatan pada baju dan seluarnya.

Novel : Semalam Yang Hangat - bab 1 : episod 1

Kedengaran Azan subuh berkumandang. Getar suara hamba Allah yang melaungkan azan itu singgah ke telinga Said. Bingkas dia bangun dan mandi. Sesudah mandi, dikejutkan pula isterinya untuk mereka sama-sama menunaikan solat subuh.

Selesai solat subuh, Said dan isteri menadah tangan memanjat kesyukuran dan memohon segala kebaikan. Kemudian, dia segera bersiap untuk ke tempat kerja. Manakala isterinya, Batrisya pula menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat bekalan suaminya. Melihatkan suaminya baru hendak memakai baju, Batrisya segera mendapatkan suaminya.

“Abang nak sarapan apa pagi ni?..” tanya Batrisya manja.

Tubuh suaminya dirangkul dari arah belakang. Said tersenyum saat dirinya dipeluk begitu. Terasa indahnya kehidupan setiap kali mendapat pelukan daripada seorang isteri. Tenang jiwanya saat dipeluk begitu. Said memusingkan badannya dan membalas pelukan Batrisya.

“Sayang masak la apa-apa. Abang tak kisah..” balas Said sambil tersenyum.
“Abang bersiaplah dulu. Sayang siapkan sarapan ye..” balas Batrisya lalu mencium pipi suaminya.

“Abang dah siap nanti, tolong kejutkan Alisya ye..” ujarnya lagi .
Dia kemudiannya beredar semula ke dapur. Said mengekori isterinya dengan ekor mata. Sebaik kelibat isterinya hilang dari pandangan mata, Said kembali mengenakan pakaiannya.

“Alisya.. Bangun, sayang..” Said mengejutkan anaknya yang berusia 6 tahun itu.
Si kecil itu mengeliat. Kemudian menyambung kembali tidurnya. Said tersenyum memerhatikan gelagat anaknya itu. Dikejutnya Alisya sekali lagi.
“Ala, ayah ni..”
“Bangunlah, sayang.. Nanti lewat nak pergi sekolah..” pujuk Said lembut.
“Eemm…” rengek Alisya manja

Sekali lagi Alisya menggeliat. Badannya bergolek ke kiri ke kanan. Dia berasa tidak selesa apabila dikejutkan tatkala sedang tidur. Terasa seperti diganggu. Melihat telatah anaknya itu, Said meniup perlahan-lahan ke telinga anaknya. Alisya mengusap telinganya kerana geli.

Said memerhatikan sahaja kelakuan anaknya itu. Sebentar kemudian dia tersenyum. Perlahan-lahan Alisya membuka matanya.

“Selamat pagi..” ucap Said tatkala melihat anaknya sudah mula membukakan mata.
Alisya kemudiannya menggosok-gosok mata. Kecil saja kelopak matanya dibuka. Said segera mencuit perut anaknya. Anak itu ketawa kerana geli dibuat begitu. Said tersenyum. Suka melihat anaknya begitu. Sekali lagi diusiknya anak itu dan sekali lagi anak itu ketawa.

Kali ini kelopak mata anaknya sudah terbuka luas menandakan anak kecil itu sudah benar-benar terjaga dari tidur. Said segera mendapatkan isterinya.
“Ibu, Alisya dah bangun ni..” Said memanggil manja isterinya.
“Kejap, ibu datang ni..” laung Batrisya dari dapur.

Sebentar kemudian, Batrisya sampai di bilik tidur anaknya. Dengan wajah yang ceria dia segera mendapatkan anaknya.

“Ha.. Anak ibu dah bangun ye.. Jom kita mandi..” ujarnya.

Alisya sememangnya anak yang tidak banyak kerenah. Itu memudahkan Said dan Batrisya mengurusnya. Alisya menghulurkan kedua tangannya minta didukung. Said memberi isyarat mata kepada isterinya. Batrisya segera mendukung anaknya dan menuju ke bilik mandi.

“Ayah, jom la mandi sekali..” rengek Alisya manja.
“Ayah dah mandi la. Ayah tunggu Alisya ye..” balas Said sambil tersenyum.

Matanya memerhatikan gelagat anaknya tatkala didukung ke bilik mandi. Melihatkan gelagat itu, Said terkenangkan saat-saat di mana ibunya mengejutkan di subuh hari semasa bersekolah dahulu. Kemudian, dia segera bangun menuju ke tingkap.

Diperhatikannya sekitar kawasan perumahan itu dari tingkap rumahnya. Langit masih gelap. Namun, kenderaan sudah banyak di jalan raya. Beratur memanjang di sepanjang jalan sebelum berhenti di lampu isyarat. Kelihatan beberapa kenderaan cuba mengambil jalan singkat dengan memotong barisan.

Semakin kelam kabut keadaan di jalan raya ketika itu. Jalan yang mempunyai dua lorong kini menjadi tiga lorong. Semuanya berebut-rebut hendak sampai cepat ke destinasi. Pastinya pemandu kenderaan ini tinggal berjauhan dari tempat kerja. Mungkin kerana itulah mereka perlu keluar awal supaya tidak tersangkut dalam lautan kenderaan.

Itulah lumrah kehidupan di bandar besar. Siapa yang lambat akan ketinggalan. Said merenung jauh ke langit biru. Dia memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana rezekinya begitu murah hingga ke hari ini. Sehingga ke hari ini, dia dapat mengecap nikmat kesenangan.

Said menghela nafas. Suatu masa dahulu, dia pernah melalui sebuah kehidupan yang sukar. Dia pernah merasa susah. Dia pernah mengalami badai dalam hidupnya. Berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa, kini Said sudah boleh berbangga dengan kehidupan yang dimiliki sekarang.

Semua itu berkat kesabaran dan ketabahannya. Cerita disebalik kehidupan yang dimiliki Said pada hari ini sebenarnya ditunjangi oleh isterinya, Batrisya. Dialah yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan Said. Wanita hebat inilah yang bertanggungjawab terhadap kesenangan yang dinikmati Said pada hari ini.

Walaupun tidak sehebat orang lain yang lebih berjaya daripadanya, Said tetap bersyukur. Syukur kerana diberi peluang dan kesempatan untuk membuktikan kewibawaan diri. Syukur kerana dipertemukan dengan seorang insan yang sudi menjadi tulang belakangnya. Syukur kerana mempunyai seorang isteri yang hebat.

Said percaya akan kata-kata Batrisya dahulu, “..kita hidup di dunia ini cuma sekali sahaja. Buatlah sesuatu yang membanggakan dan nikmatilah detik itu..”. Kata-kata itu ditafsirnya. Kata-kata itu membuatkan Said termenung jauh. Jika tidak kerana kata-kata semangat itu, Said tak mungkin akan pergi sejauh ini.

Said memandang jauh ke luar tingkap. Matanya memandang sejauh yang boleh. Fikirannya berputar seolah-oleh cuba mendapatkan kembali memori silam. Ada sesuatu yang sedang bermain difikirannya ketika ini. Perlahan-lahan ingatan Said kembali ke dunia silamnya.

bersambung...

Terlerai Kasih

Rahimah termenung sendirian di anjung rumah. Menghitung hari-hari yang sunyi yang dilalui di rumah kayu yang kian usang dimamah usia. Suatu ketika dahulu, dirinya menjadi kegilaan setiap pemuda di kampung itu. Rahimah mempunyai susuk tubuh yang cantik. Dengan perwatakan yang menarik dan sedikit berharta, maka tak hairanlah dirinya sering menjadi siulan setiap pemuda di kampungnya termasuklah suami orang yang berhidung belang.

Namun, dalam puluhan jejaka yang cuba menyelinap di lubuk hatinya, cuma Syafiq seorang yang berjaya membuatkan hatinya tertawan. Syafiq bukan sahaja kacak dan tampan. Malah, Syafiq jauh lebih bijak dan matang berbanding pemuda-pemuda lain.

Ini membuatkan rakan-rakan Syafiq cemburu akan dirinya yang dapat memenangi hari Rahimah. Saban hari, Syafiq menjadi topik sindiran rakan-rakannya setiap kali mereka bertemu.

"Wah!, beruntunglah kau dapat awek panas kat kampung ni..ha.ha.ha.." ujar Najib berbaur sindiran diikuti gelak ketawa bersama rakan-rakan yang lain.

"Kalau aku jadi kaulah, Syafiq. Sebulan aku tak turun katil tau..ha.ha.ha.." sambungnya lagi.

"Jangan lama-lama Syafiq, nanti berkarat!.. kah.kah.kah.." sampuk Udin sambil ketawa yang menampakkan gigi depannya yang lompong akibat terlalu banyak menghisap rokok

Kali ini makin rancak rakan-rakannya bergelak ketawa. Panas hati Syafiq apabila disindir begitu.

"Dah rezeki aku. Itulah kau. Dulu aku suruh belajar tinggi-tingi tak mau. Tengok, Imah pun tak pandang kau tau.." balas Syafiq.

Udin dan Najib terdiam. Rakan-rakan yang lain turut terdiam. Syafiq tersenyum sendirian di dalam hati. Gembira kerana berjaya juga dia kenakan Najib yang terkenal dengan sindiran pedas setiap kali berkata-kata tidak kira dengan siapa dia berhadapan.

"Betul ke, abang cakap macam tu kat Najib?.." soal Rahimah ketika Syafiq menceritakan hal tersebut.

"Betul, Imah. Ada ke dia cakap buah hati abang ni 'awek panas' kat kampung ni.." ujar Syafiq

"Hati mana yang tak marah kalau semua orang cakap Imah macam tu.." sambungnya lagi

Rahimah sekadar tersenyum. Gembira kerana dia tahu Syafiq amat menyayangi dirinya. Gembira kerana Syafiq menunjukkan rasa cemburunya itu bertempat.

"Kenapa Imah tersenyum?.."

"Tak ada apa-apa.." Rahimah menyembunyikan isi hatinya.

"Habis tu?.."

"Habis tu apa?.."

"Kenapa Imah tersenyum?.."

"La.. Tak boleh ke?.."

"Bukan tak boleh. Tapi, sekurang-kurangnya bagi taulah. Senyum sorang-sorang tak baik tau. Nanti apa pulak orang lain cakap kalau dia orang nampak?.."

"He.he.he. Imah senyum sebab Imah tau abang sayangkan Imah.. Sebab tu abang cemburu bila orang lain cakap pasal Imah. Kan?.." jelas Rahimah.

Senyuman manis seperti biasa terukir rapi di wajahnya. Senyuman yang membuatkan raut wajah gadis itu kelihatan anggun. Syafiq mengusap wajah gadis pujaan. Sesekali Syafiq membetulkan rambut Imah yang terbang ditiup angin kerana menghalang pandangan matanya daripada menatap sepuasnya wajah buah hatinya itu.

"Imah.."

"Ya, bang.."

"Abang ingat, bulan depan nak suruh mak dan ayah masuk meminang Imah.."

"Hah?!.." terbeliak mata Rahimah kerana separuh terkejut. Tetapi dia sebenarnya gembira mendengar perkhabaran itu.

"Tak kan kita nak jadi macam ni samai ke tua tanpa ikatan.." ujar Syafiq lagi.

"Imah tak kisah. Cuma abang je.. Dah cukup ke persediaan?.." soal Rahimah tersipu-sipu

"He.he.he.. Nakal.." ujar Syafiq sambil mencubit manja pipi Rahimah.

Mereka berdua saling tersenyum. Kemudian, Syafiq marik nafas dalam-dalam. Kali ini dia sedikit serius.

"Abang dah sedia segala-galanya. Cuma.."

"Cuma apa, bang?.."

"Cuma duit je yang tak cukup lagi.."

"Habis tu macam mana?.."

"Entahlah. Nanti abang cuba pinjam daripada bank.."

"Ish, tak payah, bang. Buat apa pinjam kat bank. Setakat nak kawin je..."

"Habis tu?. Abang mana cukup duit nak buat belanja.."

"Tak apa. Imah ada lima belas ribu dalam simpanan. Abang ambil separuh buat belanja.."

"Ish.. Tak maulah.."

"Ala, Imah ikhlas la, bang. Kalau nak harap abang buat loan, nanti kena potong gaji. Lepas kawin nak banyak nak pakai duit tau.."

"Em, kalau macam tu.. Terima kasih, Imah. Abang tau Imah memang baik orangnya. Beruntung abang dapat isteri macam Imah.."

"Eh, bukan isteri ye.. Bakal isteri..Tolong sikit.."

"He.he.he.. Lupa pulak. Belum nikah lagi.."

Sebulan berlalu, selepas majlis pertunangan selamat dijalankan, Syafiq dan Rahimah sama-sama bergandingan menuju ke pelamin diikuti paluan kompang. Masih segar di ingatan Rahimah ketika itu tatkala Syafiq mencium lembut dahinya dan menyarungkan sebentuk cincin tanda terjalinnya ikatan dua hati.

Tidak sampai setahun usia perkahwinan, Rahimah disahkan mengandung. Pengalaman pertama yang dilalui sebagai bakal ibu membuatkan hati Rahimah berbunga-bunga. Tanda kasih sayang mereka berdua disinari dengan kehadiran penyeri yang bakal lahir tidak lama lagi.

Namun, kegembiraan itu hanya dirasai oleh Rahimah seorang. Syafiq mula berubah sikap sejak Rahimah disahkan mengandung. Syafiq semakin liar. Setiap malam akan pulang lewat. Kadang-kadang dia balik dalam keadaan yang berbau busuk akibat terlalu banyak minum arak. Solat sebagai tiang agama sudah lama diruntuhkan dalam hatinya.

Rahimah begitu kecewa dengan perubahan sikap suaminya yang dahulu seorang yang penyayang dan soleh tetapi berubah menjadi hamba syaitan dalam sekelip mata. Rahimah pernah cuba menegur. Tetapi, Syafiq tidak dapat menerima teguran itu dengan hati yang terbuka. Sebaliknya, Rahimah mendapat sepak terajang Syafiq.

Pernah suatu malam Rahimah terlantar kesakitan akibat terjatuh semasa mencuci pakaian di bilik air. Tetapi Syafiq tiada di rumah kerana sedang berseronok di sebuah kelab malam bersama rakan-rakan yang lain. Hidup Syafiq bagaikan orang bujang ketika itu.

Mujurlah ada jiran yang prihatin dan mendengar jeritan Rahimah lalu menghantarnya ke hospital. Mujur jugalah akibat daripada kecelakaan itu, Rahimah tidak mengalami keguguran. Namun, perangai Syafiq tetap tidak berubah. Malah semakin menjadi-jadi.

Sehinggalah di suatu malam, Syafiq pulang dalam keadaan mabuk. Turut pulang bersamanya adalah seorang gadis yang sekadar mengenakan skirt paras paha dan berbaju belah ditengah yang menampakkan lurah. Bulat mata Rahimah melihat tindakan suaminya membawa pulang gadis bukan muhrim di dalam rumah.

"Ke tepilah!.." tempik Syafiq ketika Rahimah menghalang mereka berdua daripada masuk ke rumah.

Syafiq terus masuk ke dalam rumah bersama gadis yang sedari tadi dipeluk ciumnya. Mereka berdua seperti sudah tidak dapat mengawal nafsu lalu bercumbuan di ruang tamu rumah itu. Geli Rahimah melihat adegan itu. Namun, apalah daya. Dengan perut yang sedang sarat, Rahimah cuma mampu mengalirkan air mata.

Syafiq tidak memperdulikan semua itu. Perlahan-lahan tubuh gadis yang dibawa pulang itu dijamah dengan penuh nafsu. Berjujuran air mata Rahimah melihat perlakuan suaminya. Hancur hatinya. Tergamak suaminya berlaku sumbang.

Setelah puas, Syafiq menuju ke biliknya dan keluar bersama sebuah beg besar. Rahimah terkejut dengan tindakan suaminya itu.

"Abang nak pergi mana dengan beg ni?.."

"Aku nak keluar dari rumah ni.."

"Kenapa, abang?.."

"Aku dah bosan hidup dengan kau!.."

"Sampai hati abang cakap Imah macam ni.." ujar Rahimah lemah dengan linangan air mata yang laju membasahi pipi.

Syafiq mengemas pakaian dan mengambil segala pakaian di bilik dan disumbat ke dalam beg. Gadis yang dijamahnya tadi turut membantu memudahkan kerja Syafiq. Rahimah cuba bagkit, tetapi perutnya sakit.

"Jangan tinggalkan Imah macam ni, bang.." rayu Rahimah lantas memeluk kaki suaminya.

"Ke tepilah!.." tempik Syafiq meronta-ronta supaya kakinya dilepaskan.

Namun, Rahimah tetap enggan melepaskan kaki suaminya. Dirangkul erat kaki suaminya. air mata Rahimah semakin laju menitis dari bucu kolam matanya. Hatinya hancur luluh. Perasaannya begitu hiba diperlakukan sedemikian.

"Aku kata lepas, lepaslah!!.." bentak Syafiq lagi.

Kali ini kata-kata itu diikuti dengan satu terjahan keras yang singgah ke muka Rahimah.

"Aduh!!.." jerit Rahimah.

Namun, tangannya masih kuat memegang kaki Syafiq. Gadis yang dibawa Syafiq tadi kelihatan sudah keluar bersama sebuah beg berisi pakaian Syafiq. Di tengah laman rumah, kedengaran bunyi kereta yang telah dihidupkan. Hati Rahimah semakin kuat berdebar.

Jiran-jiran sebelah mulai keluar rumah menyaksikan drama yang berlaku antara suami isteri itu. Mereka tidak berani masuk campur urusan rumah tangga tersebut kerana bimbang dengan tingkah laku Syafiq yang baran secara tiba-tiba.

"Tolonglah, bang. Imah merayu.. Jangan tinggalkan Imah macam ni, bang.." rayu Rahimah lagi.

"Ah!. Lepaslah.. Aku dah bosan hidup dengan kau!!.."

"Tapi, apa salah Imah, bang?.."

"Hey, betina!!.. Dengar sini, aku kawin dengan kau sebab aku nak berseronok dengan kau aja!.. Aku nak kan tubuh kau dan duit kau aja.. Yang lain tu, pergi jahanamlah!!.."

"Astaghfirullahalazim.. Bawak mengucap, bang. Ingat Allah.."

Syafiq semakin hilang sabar. Rambut Rahimah ditariknya sehingga mendongak kepala wanita malang itu menghadapnya.

"Perempuan sial!.. Mulai hari ini, aku ceraikan kau!.." ucap Syafiq dengan kuat.

Dia menumbuk muka wanita yang baru diceraikannya itu berkali-kali sehingga berdarah. Rahimah semakin lemah. Kesempatan itu diambil Syafik untuk melepaskan kakinya. Rahimah cuba memegang semula kaki suaminya. Dengan pantas Syafiq mengenakan beberapa sepakan padu ke perut Rahimah.

Rahimah menjerit dan mengaduh setiap kali disepak terajang oleh Syafiq. Meraung-raung Rahimah dalam kesakitan. Syafiq lantas keluar rumah dan menuju ke kereta. Orang kampung semakin ramai berkerumun di halaman rumah. Syafiq terus masuk ke perut kereta dan meninggalkan perkarangan kawasan itu.

Sebaik Syafiq hilang dari pandangan, beberapa orang wanita dilihat masuk ke dalam rumah dan mendapatkan Rahimah. Keadaannya agak parah. Mukanya lebam dan berdarah. Rahimah menahan kesakitan di perutnya. Darah mulai keluar dari celah kelangkangnya. Beberapa orang wanita di situ memahami situasi itu. Rahimah bakal melahirkan anak. Mereka tidak sempat untuk menghantarnya ke hospital lagi.

Berkejaran beberapa orang wanita ke dalam rumah itu. Ada yang masuk ke bilik mendapatkan beberapa helai kain batik dan ada yang menjerang air panas. Rahimah menjerit kesakitan. Keadaan menjadi kelam kabut di dalam rumah. Akhirnya...







**********






"Apa yang ibu menungkan tu?.." tegur Zalina yang baru pulang dari sekolah.

Lamunan Rahimah terhenti. Dia yang tersentak dengan teguran anaknya segera mengesat air mata yang mengalir membasahi pipi. Dia tidak mahu anaknya menyedari hal itu.

"Eh, tak ada apa-apalah. Dah balik pun anak mak ni.. Lapar tak?.." soal Rahimah dengan senyuman manis terukir di bibir.

"Ina laparlah, bu..."

"Ha, kalau macam tu, jom masuk ke dalam. Ibu dah masak sup ikan merah untuk Ina.."

"Wah!, mesti sedap. Jomlah. Ina dah tak tahan ni.."

Dua beranak itu masuk ke dalam rumah untuk menikmati hidangan tengah hari. Rahimah pula meninggalkan kenangan pahit yang melukakan hati di anjung rumahnya. Itulah pengalaman hidup yang harus dilaluinya.

Selepas menempuhi sebuah kehidupan yang sukar, Rahimah bangkit dari kegagalan silam. Walau ramai lelaki di luar sana yang cuba mengetuk pintu hatinya, Rahimah tetap dengan pendiriannya bahawa lelaki tidak boleh dipercayai.

Rahimah membulatkan tekad. Walau apa pun terjadi selepas ini, dia akan tetap membesarkan Zalina dengan penuh kasih sayang. Dia tidak mahu Zalina turut menjadi seperti dirinya suatu hari kelak.

~TAMAT~


~Cinta : Jangan Ada Prejudis~ End

"Helo.. Ayu.." sapa Zafran di hujung talian

"Iye. Awak nak apa lagi?.." balas Ayu yang masih tersisa dengan kesedihan percintaan yang sudah berakhir.

"Amboi..Kasarnya. Tak sesuaiii.." balas Zafran bergurau.

Zafran tahu, untuk memikat semula sanubari Ayu, dia harus mengikut segala mainan emosi gadis itu. Jika dia terlalu ego, pasti gadis itu akan terlepas dari hubungan yang sekian lama dibina. Ayu pula tidak memperdulikan kata-kata Zafran.

"Awak peduli apa?.." balas Ayu semula.

Zafran terdiam. Kemudian dia menarik nafas panjang. Dia harus bersabar dalam melayan setiap kerenah Ayu.

"Apa yang awak nak cakapkan sangat tu? Cakap cepat sikit. Saya ada banyak kerja nak buat ni.." sambung Ayu lagi

"Sebenarnya.." kata-kata Zafran terhenti di situ.

Dia kehilangan kata-kata. Entah kenapa tiba-tiba dadanya sebak untuk menyambung semula kata-kata yang terhenti. Entah kenapa tiba-tiba perasaannya terasa lain. Fikirannya terganggu setelah membaca surat daripada keluarganya di Perancis. Kepalanya berdenyut-denyut bagai dipahat dengan paku.

"Sebenarnya apa?. Awak ni cakap terkedek-kedeklah. Macam budak-budak. Kalau tak nak cakap, janganlah buang masa saya macam ni.." bentak Ayu.

Zafran faham. Dia akur dan terpaksa menelan semua ungkapan kasar Ayu demi hubungan cinta yang dijalinkan selama ini. Zafran tekad untuk menjelaskan segalanya.

"Ayu.. Saya ada perkara nak beritahu pada awak.."

"Pasal hal semalam, kan?. Tak payahlah susah-susah sebab saya takkan percaya pada kata-kata manis awak lagi.."

"Ayu, sebenarnya awak dah salah faham.."

"Salah faham awak cakap?. Saya nampak depan mata tau awak peluk perempuan tu!. Salah faham awak cakap?!.." ujar Ayu kemarahan.

Dadanya berombak. Matanya mula digenangi air. Mana mungkin dia dapat menerima sebarang penjelasan dari seorang lelaki yang pernah disayanginya dahulu berlaku curang di depan matanya. Perlahan-lahan air mata jernih itu mengalir. Hatinya cukup tersentuh dengan perbuatan Zafran yang tergamak mengkhianati cintanya.

"Sayang. Bagilah saya peluang untuk jelaskan segalanya.."

"Please, Zafran. Cukuplah awak buat saya tersiksa. Saya tak akan maafkan awak. Saya tak boleh terima kenyataan walau apa pun yang awak cuba nak sampaikan. Saya benar-benar kecewa, Zafran.." balas Ayu berbaur kesedihan.

Ayu menangis di hujung talian. Zafran sekadar mendengar esak tangisan gadis yang selama ini dicintainya. Tiada pelukan atau belaian yang mampu diberi untuk menenangkan perasaan gadis itu. Tiada kata-kata pujuk rayu untuk menenangkan jiwa gadis pujaan itu kerana di hujung talian juga, Zafran turut menahan sebak di dada.

"Tak apalah kalau awak tak boleh terima. Tapi, sekurang-kurangnya awak dengarlah apa yang saya nak cakapkan..sebab mungkin selepas ni, kita tak akan berjumpa lagi.." ujar Zafran lemah.

Ayu tersentak dengan kata-kata Zafran. Benarkah Zafran akan bersungguh hendak meninggalkannya? Apakah Zafran tidak akan memujuknya lagi? Dia ingin bertanya. Tetapi tatkala emosi sedang menguasai diri, egonya menjadi terlalu tinggi. Zafran dibiarkan sendirian.

"Saya minta maaf, Ayu.." kata-kata Zafran tersekat lagi

Ayu cuba mengawal perasaannya. Dia mesti tabah. Ayu tidak mahu dia dipermainkan lagi. Jika dia berlembut, mungkin dia akan dikhianati lagi sekali. Cukuplah pisang berbuah sekali.

"Dengar sini, Zafran. Segala yang berlaku mungkin sudah dtakdirkan. Mungkin setakat ini sahaja hubungan kita. Saya boleh maafkan awak. Tapi.." kata-kata Ayu pula terhenti.

Dia sedih untuk meluahkan kata-kata yang seterusnya. Tapi, demi memastikan dirinya tidak tersiksa lagi. Digagahkan jua.

"Tapi apa, Ayu?.."

"Tapi..saya tak boleh terima awak dalam hidup saya lagi.." sambung Ayu dengan esak tangis yang semakin menjadi.

"Ayu. Janganlah macam ni.. Saya minta awak tarik balik kata-kata awak tu.. Sebenarnya awak dah salah faham.." ujar Zafran cemas.

Zafran tahu Ayu terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan. Zafran cuba menenangkan keadaan. Zafran berusaha sebaik mungkin untuk memenangi hati Ayu semula.

"Lusa, family saya juga akan datang. Saya akan berlepas ke Australia kerana nak bantu perniagaan ayah kat sana.. Awak dah tak perlu hubungi saya lagi kerana hubungan kita akan berakhir macam ni.." ujar Ayu.

Hatinya semakin pedih. Ayu akui dia masih sayangkan Zafran. Namun, hatinya tidak dapat menerima perbuatan khianat Zafran. Sebab itu dia mengambil keputusan untuk menamatkan kisah cinta mereka yang dibina sejak dibangku persekolahan.

Benar kata salah seorang gurunya ketika mereka hangat bercinta sewaktu zaman sekolah dahulu. "Lebih baik awak berdua utamakan masa depan. Cinta zaman sekolah ni cinta monyet. Hubungan awak takkan ke mana tanpa restu.."

"Ayu. Please.. Awak dah salah faham.. Sebenarnya perempuan yang awak nampak tu bukan.."

"Cukup, Zafran!.." tempik Ayu di hujung talian.

Pekikan itu membuatkan Fidah yang sedang menonton televisyen di ruang tamu tersentak. Fidah sekadar menggelengkan kepala dan kembali menyambung menonton cerita kegemarannya.

"Saya tak mahu awak berkata-kata lagi.." ujar Ayu.

"Kenapa, Ayu?.."

"Saya tak mahu termakan kata-kata pujuk rayu awak lagi. Saya tak mahu jatuh cinta dengan awak lagi..Cukuplah hati saya terluka kali ni.. Maafkan saya, Zafran.. Dahulu, saya akui saya terlalu mencintai awak. Tetapi, semalam awak dah hancurkan cinta dan kepercayaan saya terhadap awak.. Saya tak boleh terima semua ini dengan mudah.."

"Awak tak adil, Ayu. Awak tak dengar sikit pun penjelasan saya.."

"Jangan, Zafran. Kata-kata awak akan membunuh jiwa saya nanti.. Tolonglah.. Saya dah tak mahu dengar apa-apa lagi daripada awak.." rayu Ayu dengan penuh sayu.

"Saya tahu awak masih sayangkan saya lagi, Ayu.."

"Zafran.."

"Awak tak boleh tipu diri sendiri, Ayu.."

"Zafran.. Please.. Jangan paksa saya letak telefon dengan kasar..Saya tak mahu bersikap biadab dengan awak..Please.."

"Baiklah.. Kalau itu yang awak mahukan.. Saya takkan paksa awak lagi.. Saya minta maaf atas apa yang berlaku.. Saya minta maaf atas kesalahan saya.. Walaupun awak dah tak cintakan saya lagi.. Saya akan tetap mencintai awak selamanya.." ujar Zafran lemah.

Tanpa disedarinya, air mata lelaki yang selama ini tidak pernah setitik pun meleleh dari kolam matanya, hari ini ia mengalir jua. Air mata itu menitis laju dari bucu mata Zafran. Dia sudah tewas dalam percintaan. Bukan kerana apa, semuanya kerana dirinya yang tidak diberi peluang untuk menjelaskan segala-galanya.

Cintanya tewas dihujung talian. Mereka sudah bertekad untuk berpisah. Ayu dan Zafran terpaksa menelan kenyataan itu walaupun pahit. Ayu tersandar di kepala katil sejurus talian telefon diputuskan. Dia keliru dengan keputusannya sebentar tadi. Namun, dia pasrah dan menerima segalanya dengan rela.

Zafran pula terduduk di sofa. Masih terkejut dengan keputusan percintaannya yang berakhir begitu sahaja. Sungguh tak disangka. Ternyata Ayu memang degil orangnya. Jika dahulu, kedegilannya masih boleh diatasi. Namun, malam ini tiada apa yang mampu dilakukan oleh Zafran untuk mengembalikan hubungan yang semakin keruh.

*****

"Kau dah siap berkemas, Ayu?.." tanya Fidah sebaik melihat sahabatnya keluar dari bilik mandi.

"Dah. Tunggu ayah aku datang ambil petang esok.."

"Em.. Jaga diri kau baik-baik kat sana tau.."

"Kau tu yang kena jaga diri kat sini. Jangan asyik nak mengunyah je. Jaga badan tu.." usik Ayu

"Ala, pasal aku tak payah la kau nak risau. Makan banyak mana pun badan aku tetap maintain macam ni..hehehe..Engkau tu kat sana yang aku kena risau.."

"Fidah, kat sana aku duduk dengan family. Bukan orang lain pun.." balas Ayu lantas mengenakan pakaian di tubuhnya.

Fidah terdiam. Begitu juga Ayu. Sesudah bersiap, Ayu dan Fidah bergerak ke ruang tamu. Sambil menikmati hari yang indah bersama secawan nescafe, Ayu membelek-belek telefon bimbitnya.

"Betul kau nak pergi ni?.." ujar Fidah memecah kesunyian

Ayu sekadar menganggukkan kepala.

"Macam mana dengan Zafran?.."

"Aku dah tak ada apa-apa hubungan dengan dia lagi.."

"Zafran cakap kau tak adil, Ayu.."

"Kenapa pulak?.."

"Kau tak bagi peluang langsung untuk dia jelaskan.."

"Kau tak tau Zafran tu. Kalau dia pujuk, siapa pun boleh cair tau.."

"Tapi sekurang-kurangnya kau bagilah dia bercakap.."

"Fidah.. Aku tak selesa la kita bincangkan hal ni lagi.."

"No, Ayu. Kau mesti dengar aku cakap kali ni.."

Fidah memusingkan badan menghadap ke arah Ayu. Mata mereka berdua saling bertentang. Ayu seperti biasa dengan wajah tak kisahnya.

"Semalam lepas dia call kau.. Zafran ada call aku.. Katanya dia akan ke Perancis hari ni.."

"Em, itu aku tau.."

"Kau tau dia akan jalani pembedahan otak minggu depan kan?.."

"Hah?!.. Apa kau cakap ni, Fidah?.."

"Betul, Ayu. Semalam Zafran call dan ceritakan semuanya pada aku sebab dia tak berpeluang cakap dengan kau.."

"Fidah.." perlahan nada suara Ayu

"Semalam, lepas call aku, kita orang keluar sekejap. Dia bawa seorang perempuan.."

"Hah!.. Kan aku dah cakap!.."

"Ayu. Dengarlah dulu.. Perempuan tu bukan seperti yang kau sangkakan.."

"Betul ke ni, Fidah?.." soal Ayu seakan menyesal menuduh Zafran yang bukan-bukan.

"Bukan kau seorang yang kenal Zafran, Ayu. Aku pun kenal dia. Kita kan sekelas. Aku tau perangai Zafran macam mana. Tak mungkin dia khianati cintanya terhadap kau..."

Ayu tertunduk. Terbit rasa kesal di sanubari.

"Kau tak adil, Ayu. Langsung tak bagi peluang untuk dia jelaskan segalanya.."

"Fidah.. Aku.."

"Masa kau jumpa mereka berdua berpeluk tu, perempuan tu adalah adiknya!.."

"Hah?!.."

"Iya. Adik dia datang dari Perancis bersama laporan doktor yang mengatakan Zafran perlu jalani pembedahan dengan segera. Adiknya datang untuk jemput Zafran balik ke Perancis.. Belum sempat dia nak kenalkan, tiba-tiba kau merajuk macam budak-budak. Akhirnya, kau terburu-buru buat keputusan untuk berpisah.." jelas Fidah sayu dan simpati.

"Fidah.." ujar Ayu lantas memeluk Fidah.

Ayu menangis dalam dakapan Fidah. Dadanya berombak. Air matanya mengalir deras membasahi pipi. Kekesalan jelas terpampang di hati kerana terlalu ikutkan rasa cemburu dan egonya.

"Maafkan aku, Fidah!.."

"Nak mintak maaf bukan dengan aku, Ayu. Tapi dengan Zafran.." balas Fidah lemah.

"Zafran.. Maafkan aku.." bisik Ayu sendirian. Tangisannya sudah tiada makna lagi.

Fidah simpati atas apa yang terjadi antara Ayu dan Zafran. Dia juga bersedih atas kisah cinta dua sahabat baiknya yang berakhir dengan tragedi. Sedih kerana hari ini adalah penentu hidup mati Zafran. Jika dia selamat daripada pembedahan sekali pun, barangkali tiada lagi memori yang dapat disimpan sebagai kenangan.

Ayu menangis semahunya. Menangis kerana kebodohan dirinya yang terlalu ego. Menangis kerana bersikap terburu-buru dalam membuat keputusan. Namun, apalah yang mampu dilakukannya lagi. Dia sendiri yang memilih supaya kisah cinta mereka berdua berakhir seperti itu.

Ayu terus menyesal kerana tidak memberi peluang untuk Zafran berterus - terang. Tangisan Ayu meruntun jiwa Fidah. Namun, segalanya sudah terlambat. Zafran sudah tiada di saat kedukaan itu melanda.

~TAMAT~


~Cinta : Jangan Ada Prejudis~ part 1

"Ape ni?!. Lepaslah.." Ayu meronta sambil meminta tangannya supaya dilepaskan Zafran.

"Dengar dulu, sayang.." pujuk Zafran.

"Ape sayang sayang pulak ni?.. Saya dah tak nak dengar ape-ape pun dari mulut awak lagi!.." tempik Ayu.

Ternyata dia bersedih atas perkara yang tidak sepatutnya dilihat sebentar tadi. Tergamak Zafran mempermainkan cintanya. Air mata yang sedari tadi ditahannya, kini sudah semakin banyak bertakung. Semakin laju ia mengalir dari kolam matanya. Air mata jernih Ayu mengalir deras.

"Ayu. Please.."

"Lepaslah!.."

"Ayu.."

"No!.. Lepas ni, kita dah tak akan ada apa-apa hubungan lagi!.." jerit Ayu pilu.

Begitu berat rasa hatinya untuk meluahkan kata-kata itu. Namun, dia terpaksa melakukannya setelah dia berasakan cintanya terhadap lelaki itu selama ini telah dikhianati. Sekali lagi Zafran cuba memujuk. Tangannya cuba menggenggam erat jari jemari Ayu. Namun, pantas Ayu menepis.

"Awak tau tak?. Selama ini, saya sangat sayangkan awak, saya cintakan awak. Malah, saya sanggup buat apa saja untuk awak. Tapi..tak sangka awak sanggup khianati cinta saya terhadap awak.." ujar Ayu dengan linangan air mata.

"Ayu. Dengar dulu apa saya nak cakapkan.." balas Zamri.

"No!.. Awak jangan nak pujuk saya lagi. Saya tak akan terpedaya dengan janji palsu awak lagi!.." balas Ayu.

Badannya terasa sungguh lemah. Sungguh tak disangka cinta yang dipupuk sejak sekian lama berakhir dengan satu drama yang dimainkan oleh lelaki hidung belang. Tergamak Zafran memeluk perempuan lain. Drama itu jelas berlaku di hadapan matanya walaupun dia berada pada kedudukan yang agak jauh, namun Ayu boleh lihat dengan jelas pasangan yang berpelukan itu adalah Zafran.

Ayu terduduk. Sedih dengan apa yang terjadi.

"Ayu.. Dengarlah dulu.." pujuk Zafran.

Zafran sedar segalanya sudah terlambat untuk dijelaskan. Dia tahu Ayu tak akan mendengar cakapnya jika emosinya sudah terganggu.

"Saya tak mahu dengar apa-apa daripada awak lagi.. Tolonglah. Hantar saya balik sekarang jugak.." Ayu merayu dengan sepuluh jari disusun rapi memohon agar Zafran menghantarnya pulang.

Ayu sudah tidak sanggup melihat wajah lelaki yang selama ini bertahta di hatinya lagi. Zafran tiada pilihan lain. Kalau dia berkeras juga, kisah di malam itu pasti akan berakhir dengan lebih teruk.

Zafran memilih untuk mengalah. Dia segera menekan punat di kunci dan mereka sama-sama bergerak menuju ke kereta. Ayu memilih untuk duduk di bahagian belakang. Tidak sanggup rasanya untuk melihat wajah kesayangan yang telah menghancurkan impian cintanya selama ini.

Zafran sekadar mengerutkan dahi dengan kerenah Ayu.

"Orang perempuan ni kalau dah terlebih emosi macam tu la. Tak bagi peluang langsung orang nak jelaskan. Sikit-sikit nak menangis, lepas tu merengek nak balik.." rungut Zafran sendirian.

"Apa awak cakap tadi?.." tanya Ayu.

Barangkali dia mendengar apa yang dirungutkan oleh Zafran.

"Tak ada apa-apa. Kalau cakap, awak bukan nak dengar pun.." balas Zafran lantas menghidupkan enjin kereta dan terus memecut.

Ayu sekadar mencemikkan bibirnya.


***************


"Ayu. Kenapa ni?.." tanya Fidah, rakan serumahnya yang terkejut sebaik melihat Ayu pulang dengan wajah yang hiba.

Ayu tidak mengendahkan pertanyaan rakannya. Sebaliknya, dia terus masuk ke bilik.

"Hmm.. Gaduh lagilah tu.." bisik Fidah lantas mendapatkan Ayu di biliknya.

"Kenapa ni.." ujarnya perlahan setelah melihat Ayu menangis teresak-esak di bucu katilnya.

Ayu tidak menjawab. Sebaliknya hanya mendapatkan Fidah dan memeluk sahabatnya itu seeratnya. Fidah seakan memahami erti tangisan itu. Pasti kes malam ini lebih berat. Pasti bukan gaduh-gaduh manja seperti yang sebelumnya.

"Aku dan Zafran dah berpisah. Sedih sangat. Selama ni aku tertipu, Fidah.." ujar Ayu perlahan

"Sungguh ke? Kenapa ni? Ceritalah.." balas Fidah terkejut.

"Selama ini aku sayangkan dia. Tapi, tadi aku dapat tau dia dah ada perempuan lain. Tergamak dia menduakan aku.."

"Kau salah orang agaknya ni.."

"Mata aku tak pernah silap, Fidah. Kau nak tau? Dia peluk perempuan tu depan mata aku!.." jerit Ayu lantas memeluk Fidah dan menangis.

"Betul ke? Tak sangka sungguh.." ujar Fidah simpati.

"Bersabarlah.." ujarnya lagi.

Biasanya, kalau Ayu dan Zafran bertengkar. Malam itu pasti telefon bimbit Ayu akan berdering dan Zafran akan memujuk. Tapi, malam itu telefon Ayu tidak berbunyi.

Sudah tiga hari Ayu memerap dirinya di dalam bilik. Mengurung dirinya dan menangisi nasib cintanya yang dirundung malang. Sesuatu yang tidak disukai Fidah. Melihat keadaan Ayu yang asyik sebegitu di dalam bilik. Fidah segera menghubungi Zafran.

"Helo.. Zafran.."

"Ya. Ada apa Fidah?.."

"Kenapa jadi macam ni, Zafran?.."

"Entahlah, Fidah. Semua ni salah faham. Aku cuba nak jelaskan. Tapi, kau faham-faham je la perangai Ayu tu kalau dah terlebih emosi. Memang dia tak bagi aku peluang bercakap.."

"Kau tu yang main kayu tiga. Kalau tak, takkan sampai jadi macam ni.."

"Itu semua salah faham, Fidah.."

"Salah faham apanya kalau dia cakap kau peluk perempuan lain depan dia!.."

"Itulah yang aku cuba nak jelaskan. Tapi, dia tak nak bagi aku peluang bercakap.."

"Tergamak kau mempermainkan dia, Zafran. Dari zaman sekolah korang bercinta, tak sangka macam ni kau buat kat dia.."

"Fidah, tolonglah jangan kusutkan lagi keadaan. Biarlah dia bertenang dulu. Nanti aku akan pujuk dia dan pulihkan hubungan ni. Aku janji.."

"Kau dah terlambat, Zafran. Lusa family dia akan datang bawa dia ke Australia. Dia akan menetap di sana bantu uruskan perniagaan family.."

"Ya. Aku faham. Aku pun akan ke Perancis esok. Sebelum terlambat, aku nak bercakap dengan Ayu untuk aku jelaskan segala-galanya.."

"Em, pandai-pandailah kau pujuk dia. Aku tak nak jadi orang tengah lagi.." balas Fidah lalu memutuskan talian.

~BERSAMBUNG~

~Kisah Tragik Cinta : Keychain Kasut Belang~

Cinta itu kadang-kala indah. Kadang-kala ia menyakitkan. Cinta tak kenal usia, warna kulit, paras rupa, harta atau bangsa. Sesiapa sahaja berhak memiliki cinta. Sejauh mana hubungan cinta itu kekal bertahan, bergantung sepenuhnya terhadap kawalan emosi antara pasangan.

Bagaimana jalan cerita kisah cinta itu dibentuk, begitulah juga akan terjadi terhadap pengakhiran kisah cinta itu sendiri sama ada ia akan berakhir dengan kegembiraan atau sebaliknya.


"Hai, sayang.." terdengar suara lembut dan romantik di hujung talian.

"Hai, abang Ramli.." balas Qistina manja.

"Apa khabar buah hati abang ni?.."

"Sihat.. Abang sihat?.."

"Alhamdulillah. Emm, rindulah kat sayang.."

Qistina tersenyum manis. Senyuman yang diukir menjelaskan betapa bahagia dirinya ketika itu. Kasih sayang yang ditanam sejak empat tahun lalu masih utuh tanpa ada sedikit pun geseran salah faham antara mereka.

Sikap penyayang dan ambil berat Ramli membuatkan Qistina tambah yakin kehidupan mereka akan diakhiri dengan bunga-bunga andaman indah di atas pelamin sanding yang cukup mempersona.

Tambahan pula, sejak mereka berdua bertunang 6 bulan yang lalu, Qistina merasakan hubungan mereka akan menjadi lebih bahagia tatkala cincin disarung bakal mertua ke jari manisnya yang menggambarkan betapa kukuhnya kasih sayang antara dua hati.

"Tina pun rindukan abang.." balas Qistina

"Abang suka dengar suara manja sayang tu.."

"Terima kasih.."

"Sayang dah dapat bunga yang abang kirimkan tu?.."

"Dah. Terima kasih. Masih tersimpan rapi dalam bilik tu. Tapi.."

Kata-kata Qistina terputus. Ada sesuatu yang ingin ditanyakan kepada bakal suaminya. Ingin dilontarkan satu persoalan yang sejak dahulu bermain di minda. Namun dia bimbang bakal suaminya akan berkecil hati.

"Tapi apa, sayang?.."

Qistina masih diam membisu.

"Cakaplah.. Abang tak kisah.." ujar Ramli lagi

Mendengar kata-kata tunangnya, Qistina lega. Dia mengumpulkan segala kekuatan untuk bertanyakan sesuatu kepada Ramli. Qistina menarik nafas panjang dan melepaskannya dengan satu hembusan yang lembut. Ramli seperti sudah bersedia untuk mendengar luahan bicara hati Qistina di hujung talian.

"Kalau Tina cakap, abang jangan marah tau.." ujarnya manja.

Ramli tersenyum di hujung talian mendengar ungkapan manja itu. Sesekali mendengar kata-kata tunang di hujung talian tanpa bersemuka membuatkan Ramli tertanya bagaimanakah agaknya wajah Qiatina tatkala melafazkan kata-kata itu.

"Tak. Abang tak marah. Cakaplah.."

"Tina perasan, sejak dari mula kita bercinta, setiap bulan abang akan beri Tina sejambak bunga mawar merah yang mekar dan harum.. Tina suka bunga tu. Tapi, di celah jambangan bunga tu abang ada selitkan sekali keychain kasut warna belang biru merah. Kenapa, bang?.." soal Qistina.

"Oh!, itu je?.."

"Ye. Itu je soalannya.."

"Hmm.. Abang ingatkan pasal apalah tadi. Sayang ni buat abang suspen je.." balas Ramli diikuti satu gelak ketawa yang berbaur nakal.

"Jahat.." ringkas Qistina membalas yang langsung mematikan gelak tawa nakal Ramli.

"Jawablah.." gesanya lagi.

"Okey..okey. Betul sayang nak tau kenapa?.."

"Mestilah. Tapi, abang kena bagi jawapan dengan jujur tau.."

"Emm.. Kalau sayang nak tau juga, malam ni kita jumpa dan abang akan jelaskan segalanya.. Boleh?.."

"Boleh. Pukul berapa?.."

"8.30 kita jumpa di White House Coffee, Pantai Dalam?.."

"Orait.."

"Jumpa di sana ye, sayang.." balas Ramli diikuti satu ciuman manja di hujung talian.

Gagang diletak. Qistina memerhatikan jam di dinding. Masih ada lagi sejam setengah untuk dia bersiap. Dia mencapai tuala dan bergegas ke bilik mandi. Selesai mandi, Qistina mengenakan pakaian kesukaan tunangnya. Selesai bersiap, dia terus memecut BMW miliknya menuju ke destinasi.

Qistina tiba setengah jam awal. Tujuannya supaya dia dapat memberikan kejutan kepada bakal suaminya. Namun, sudah dua jam berlalu. Bayang Ramli masih belum muncul. Sudah berkali-kali Qistina melihat jam di tangannya. Air yang dipesannya pun sudah habis dan berganti sebanyak tiga kali.

Kemudian, telefon bimbitnya menjerit. Masuk satu panggilan. Qistina memerhatikan nama yang tertera. Wajahnya sedikit kecewa. Ingin saja dicampak telefon bimbit itu. Namun, dilembutkan hatinya untuk menjawab panggilan daripada bakal suaminya. Sebaik saja telefon dijawab, bukan suara Ramli yang didengarnya. Tetapi kedengaran suara hiruk pikuk kenderaan dan jeritan orang di sekeliling.

"Helo!. Cik Qistina Rahman?.."

"Ya. Bercakap.."

"Saya nak maklumkan yang Encik Ramli terlibat dalam kemalangan jalan raya. Parah!. Saya telah hantar dia ke Hospital Universiti. Elok cik datang sekarang.." kedengaran suara lelaki di hujung talian.

Qistina tergamam mendengar kenyataan itu. Dia segara membayar bil minuman dan bergegas ke hospital.

Tiba di sana Qistina terus ke kaunter pertanyaan. Sebaik dimaklumkan, dia terus bergegas menuju ke wad. Di sana, ramai orang sedang keluar masuk. Qistina mencari nombor katil pesakit.

Qistina dapat melihat seorang lelaki yang berlumuran darah. Seluarnya koyak dan baju kemeja yang dipakainya dipenuhi darah melata. Air mata Qistina mengalir laju mencurah-curah dari kolam matanya. Para petugas termasuk doktor sibuk merawatnya. Qistina mengecam lelaki itu adalah bakal suaminya.

Kemudian, petugas membawa pesakit itu keluar dari wad itu untuk ke bilik bedah. Qistina terpaksa menunggu. Sementara menunggu, Qistina berdoa semoga bakal suaminya selamat sambil tanggannya menggenggam erat keychain yang diberi oleh Ramli.

Empat jam kemudian...

"Macam mana keadaannya tuan doktor?.." ujar Qistina cemas.

"Kami telah berusaha sedaya upaya. Tiada lagi yang mampu kami lakukan. Kecederaanya terlalu serius. Banyak tulang-tulang yang patah dan tengkoraknya retak. Darah beku di kepalanya menyulitkan situasi. Awak masuklah dan berjumpalah dengannya buat kali yang terakhir.." ujar doktor itu simpati.

Qistina terdiam. Matanya kembali digenangi air. Tanpa berlengah dia terus masuk.

"Abang.." Qistina menyapa Ramli dalam sedu sedan

"Jangan menangis, sayang. Mungkin ini takdir kita.." ujar Ramli lemah.

"Abang minta maaf sebab tak dapat bersama sayang seperti yang dijanjikan tadi.." ujarnya lagi.

"Tak apa, bang.."

"Sayang tak marah kan?.."

"Tak.."

Qistina mengesat air mata. Kemudian dia mengeluarkan sesuatu dari tas tangannya.

"Abang.." ujarnya sambil menunjukkan sesuatu.

"Ada apa, sayang?.."

Qistina menyerahkan apa yang dipegangnya ke tangan Ramli. Ramli menggenggamnya dan cuba mengukir senyuman. Tetapi pahit.

"Boleh Tina tau kenapa abang selalu bagi keychain kasut berbelang ni?.."

Ramli mengangkat tangannya menyentuh pipi Qistina.

"Sebenarnya.....sebenarnya.......abang bagi sayang keychain ni sebab....sebab......."

PAP!!. Tangan Ramli jatuh ke katil. Keychain yang dipegangnya tercampak ke lantai. Ramli 'pergi' tanpa sempat menceritakan segala-galanya.

"ABANG RAMLI!!!!!....." jerit Qistina menangisi kematian tunangnya.

Lebih menyedihkan Qistina adalah kerana Ramli tidak sempat menceritakan kenapa dia gemar memberikan keychain kasut belang kepadanya setiap bulan.

Emmm.. Kalau dah Ramli yang jadi watak utama dalam cerita ni tak leh nak cerita apa sebabnya, aku pun tak dapat nak tolonglah. Kalau aku tau sebabnya, mungkin aku boleh lengkapkan jalan cerita ni. He.he.he.. Pembaca sekalian, jangan marah ek.. SORI!!!!




~Lui Timur~

Petang itu, cuaca mendung menggantikan hari yang terik. Berpeluh-peluh tubuh Samad mengharungi tanah berkerikil diselaputi debu-debu merah menuju ke sebuah desa. Kerana ketiadaan kenderaan, dia terpaksa berjalan kaki sejauh 4 kilometer jalan merah dengan mengangkut dua beg yang sarat dengan pakaiannya. Itulah kali pertama Samad menjejakkan kakinya ke sebuah desa yang terletak jauh di pedalaman.

Dikelilingi kebun getah, cuaca yang mendung tambah menggelapkan lagi pemandangan kawasan sekitar. Beberapa kali Samad menepuk lengan kiri dan kanannya memukul nyamuk yang mengambil kesempatan ke atas tubuhnya. Dia betul-betul tidak selesa dengan keadaan itu. Digagahi juga langkahnya menuju ke kawasan perkampungan. Masih ada baki lagi kira-kira 3 kilometer.

Tekaknya haus, perutnya berdondang sayang. Sejak dari stesen bas tadi dia tidak menjamah apa-apa kerana tergesa-gesa mencari bas. Samad bimbang akan tertinggal bas kerana hari sudah lewat petang. Lagi pun, dia perlu melapor diri di tempat bertugas pada keesokkan harinya.

Ditambah dengan beban yang dibawanya, langkah Samad menjadi sedikit perlahan. Sepanjang laluannya, Samad telah mendaki dan menuruni lima anak bukit. Bahunya lenguh memikul beban yang digalas.

"Ini baru sikit.." Samad memujuk dirinya.

Dia tahu akan ada cabaran yang lebih berat menanti setibanya dia ke desa itu nanti. Perlbagai persoalan bermain di minda mengenai tempat bertugasnya. Samad gagahi tubuhnya melangkah ke hadapan. Hari semakin gelap. Nyamuk kian banyak menghurung dirinya. Gatal digigit sudah tidak dipedulikan lagi. Tubuhnya yang berisi kelihatan bengkak di merata tempat kesan diratah nyamuk kebun getah.

Guruh di langit mula berdentum disusuli kilat menerangi kawasan sekitar kebun getah yang semakin gelap. Hujan renyai-renyai mulai turun. Samad tiada pilihan. Dia mempercepatkan langkahnya. Tubuhnya sudah mula dibasahi hujan. Samad kesejukan. Hari semakin gelap. Perutnya kelaparan.

Kakinya mula dipalit tanah merah yang basah. Pakaiannya yang berdebu merah bagai bermandi darah apabila ditimpa hujan. Langkahnya semakin berat. Samad mengunci mulutnya. Dia tidak mahu emosi menguasai dirinya. Dia tidak mahu merungut atas apa yang terjadi ke atas dirinya pada hari tersebut. Semua itu adalah pilihannya. Sewaktu ditemuduga dahulu, Samad sendiri menyatakan kesanggupannya ditugaskan di mana-mana sahaja.

Dari atas bukit, Samad sudah boleh lihat sebuah perkampungan kecil. Bibirnya mengukir sedikit senyuman. Samad teruskan langkah. Tiba di pintu gerbang kawasan kampung, kelihatan seorang lelaki dengan sebuah basikal tua berdiri dengan sebuah payung. Lelaki itu melambai kepadanya. Samad tersenyum lantas membalas lambaian itu.

"Dah lama tunggu?.." Samad menyapa.

"Taklah.. Maaf ya, nak. Pak cik tak dapat nak jemput di simpang masuk.."

"Hujan lebat, motor pak cik pula rosak. Surat pun baru sampai lepas Asar tadi.." tambah lelaki itu.

"Tak mengapa.." balas Samad sambil tersenyum.

"Mesti anak ni keletihan. Mari pak cik tunjukkan tempat tinggalnya.." pelawa lelaki itu.

Malam itu, Samad kelaparan dalam kesejukan. Namun, dia tiada selera untuk menjamah walau secubit makanan pun. Dia berasa letih. Fikirannya menerawang jauh. Barangkali, memikirkan keluarga yang ditinggalkan beratus-ratus kilometer jauhnya. Barangkali memikirkan nasibnya pada esok hari pula. Samad cuba membayangkan persekitaran tempatnya bertugas esok. Keadaan bangunan tempat dia akan menurunkan segala ilmu di dada. Samad membayangkan ratusan anak orang yang akan dididiknya menjadi manusia. Namun, tiada jawapan pada bayangan imaginasinya itu.

Malam semakin gelap. Samad cuma ditemani lampu gasolin yang semakin malap. Bunyi cengkerik dan nyamuk, sesekali ditambah suara cicak menjadi melodi yang meruntun jiwa Samad. Fikirannya menerawang terlalu jauh sehingga menimbulkan rasa seram dalam diri di kala malam yang semakin dingin diikuti suara anjing yang bersahut-sahutan.

Samad berasa semakin gatal digigit nyamuk. Ditariknya gebar yang besar dan tebal menyelimuti tubuhnya dari hujung kaki hingga ke hujung rambut. Samad cuba melelapkan mata. Kepenatan menjadikannya mudah untuk tidur. Samad lena dalam gelap malam. Samad lena tatkala dirinya dihurung nyamuk. Samad lena beralaskan tikar dan berbantalkan beg pakaian. Esok adalah permulaan perjalanan hidupnya di desa itu. Selamat malam Samad.

~TAMAT~

~Seteguh Kasihmu~


Pagi itu selesai menunaikan solat subuh, Amar segera bersiap dan keluar rumah menuju ke sebuah bangunan yang sederhana besar yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumahnya.

"Terima kasih, encik.." kata pengawal bangunan itu ketika Amar menghulurnya sedikit makanan untuk sarapan pagi sebelum dia keluar dari perkarangan kawasan itu.

"Sama-sama.." balas Amar.

"Petang ni encik datang lagi?.." soalnya semula.

"Ya, macam biasa.." jawab Amar ringkas.

Kemudian, dia memecut keretanya menuju ke tempat kerja. Begitulah rutin harian Amar pada setiap hari seawal jam 6.00 pagi sebelum dia kembali memandu ke tempat kerjanya yang terletak di kawasan segi tiga emas.

"Awal kau sampai pagi ni?.." tegur Jefri sejurus sahaja Amar keluar dari kenderaannya.

"Biasalah, Jef. Kalau aku keluar lambat nanti, jalan sesak pulak. Haha.." balas Amar sambil menepuk bahu Jefri.

Jefri tersenyum. Dia merenung Amar. Ada sesuatu tentang lelaki itu yang dikaguminya. Amar menyedari hal itu lalu menegurnya.

"Hah, ni kenapa tengok aku macam ni pulak?.."

"Bukan apa, aku kesian la dengan kau..tapi kenapa.." ujar Jefri memulakan bicara.

"Dah lewat ni, jom ke pejabat.." balas Amar sambil berjalan menuju ke pintu pejabat.

Jefri masih tercegat berdiri di tempat letak kereta. Matanya memerhatikan sahaja langkah sahabatnya menuju ke pejabat. Dia sememangnya sudah kenal dengan sikap Amar, sahabat yang dikenalinya sejak dari tingkatan tiga dahulu. Dia bekerja di syarikat ini pun atas pertolongan Amar. kalau tidak, sampai ke tualah dia 'menanam anggur' di kampung.

Jefri sememangnya terhutang budi dengan Amar. Tidak pernah dikala dia susah, Amar tidak menolongnya. Bukan Jefri sahaja. Malah, sesiapa jua rakan sepejabat yang alami masalah akan 'mengadu' pada Amar. Amar pula tidak 'segan silu' membantu. Sikap Amar yang rajin dan peramah itu memang disenangi semua orang.

Namun, sejak kebelakangan ini, Jefri mula mendapati perubahan dalam diri Amar. Terlalu banyak yang berubah. Amar tidak lagi seceria seperti dahulu. Sebab itulah ketika Jefri memulakan bicara tadi, Amar cepat-cepat memotong kata-katanya. Jefri menyedari keadaan itu. Namun, tiada apa-apa yang boleh dilakukannya.

"Dah pukul 8.00, Jef!.." teriak Amar dari jauh.

"Aku harap kau akan bertahan, Amar.." bisik hati Jefri.

"Ya!, aku datanglah.." Jefri membalas. Dia kemudiannya bergerak menuju ke pejabat.

Hari itu berlalu dengan pantas. Semua orang sibuk menjalankan tugas masing-masing. Waktu makan tidak lagi menjadi keutamaan. Yang penting, kerja dapat disiapkan pada hari itu juga. Amar sibuk memasukkan data-data syarikat yang masih belum menjelaskan tunggakan bayaran sewa premis dan membuat kira-kira. Di hadapannya melambak kertas-kertas bersaiz A3 berupa data untuk disemak dan dikemas-kini.

Kesibukannya sejak dari pagi tadi disedari Anita, rakan sepejabat yang sekian lama memendam perasaan terhadap jejaka itu. Ingin saja didekati jejaka itu. Tetapi, memandangkan masing-masing sibuk dengan tugas, Anita membatalkan hasrat hatinya.

Petang itu, selesai sudah sebahagian daripada kerja syarikat yang diamanahkan. Amar berkemas dan bersiap-siap untuk pulang. Kesempatan itu digunakan Anita untuk mendekatinya.

"Amar, kita keluar makan malam ni?.. Jef dan Yana pun ada sekali.. Jom la ikut kita orang.." ujar Anita mengharap.

"Maaflah, Nita. Malam ni aku ada hal..Lain kali okey?.." balas Amar dengan senyuman.

Anita membalas senyuman itu. Tetapi, tawar. Sekian lama dia menantikan jawapan yang pasti daripada Amar. Namun, setiap kali itulah Amar menolaknya. Namun, Anita tidak berkecil hati. Dia tahu mengapa Amar menolak pelawaannya. Lagi pun, Amar menolaknya secara baik. Amar segera keluar dari pejabat menuju ke keretanya. Kemudian, dia terus memecut keretanya menuju ke bangunan yang didatanginya pagi tadi.

Anita sekadar memerhatikannya dari tingkat lapan pejabat tempat mereka bekerja. Ada sedikit rasa terkilan di hatinya berkenaan jejaka yang diminatinya. Jefri yang sedari tadi memerhatikan gelagat Anita segera menghampiri.

"Sampai bila agaknya dia akan jadi macam tu?.." luah Anita

"Cinta tak boleh dipaksa.."

"Apa kurangnya aku ni Jef??.."

"kau tak kurang apa-apa pun..Kau sempurna Anita.."

"Habis tu?..Sampai bila aku kena tunggu?.."

"Entahlah.."

"Boleh aku tau kenapa dia selalu ke sana?.. Apa yang ada dalam bangunan buruk tu?.." soal Anita.

"Di sana ada kehidupan dia..tak perlulah kau tau.."

"Please, Jef.." rayu Anita.

Jefri merenung wajah gadis itu. Seperti menanggung beban yang teramat berat, Jefri turut berasa kasihan melihatnya. Tidak sanggup melihat gadis itu terus mengharapkan sesuatu yang tidak mungkin akan dimilikinya. Jefri menyedari hal itu. Dia tidak lagi mampu menyimpan rahsia Amar. Baginya, biarlah Anita mengetahuinya juga agar gadis itu tidak akan terus berharap.

"Ok.." balas Jefri ringkas.

Petang itu, Jefri membawa Anita menuju ke destinasi persinggahan Amar pada setiap pagi dan petang. Perjalanan mereka kerap terhenti akibat kesesakan jalan raya. Sepanjang perjalanan, tiada apa yang hendak dibualkan. Fikiran masing-masing berkecamuk. Perasaan bercampur baur. Anita kelihatan tidak senang duduk dan resah lebih-lebih lagi apabila mereka kian menghampiri kawasan itu. Tepat jam 8.00 malam, mereka berdua tiba di bangunan itu.

Setelah meletakkan kenderaan, Jefri dan Anita mendapatkan pas pelawat di pondok pengawal. Dari situ juga mereka dapat melihat sebuah kereta Honda Civic warna putih tidak jauh dari tempat mereka meletakkan kenderaan. Tahulah mereka siapa pemilik kenderaan tersebut.

"Waktu melawat habis pukul 9.00, encik.." kata pengawal

"Terima kasih.." balas Anita dengan senyuman dan terus berlalu.

"Nanti.." kata Jefri sambil pantas menarik tangan Anita. Anita tersentak. Pengawal keselamatan itu segera keluar dari pondoknya. Memerhatikan gelagat sepasang pelawatnya yang baru tiba.

"Tu..tengok tu.." ujar Jefri sambil menunjukkan sesuatu ke arah sebuah blok bangunan bersebelahan tempat mereka berdiri.

Dari situ mereka dapat melihat sebuah bilik besar di tingkat bawah yang terang benderang. Di dalamnya kelihatan beberapa orang sedang mundar-mandir, terbaring di lantai, terlompat-lompatdi atas katil, menangis, berteriak dan berguling-guling. Mata Anita meliar mencari sesuatu di dalamnya. Kemudian tumpuan mata mereka beralih di satu sudut dalam bilik besar itu.

Pemandangan Alia dan Jefri mati di situ. Mereka dapat melihat kelibat seorang lelaki sedang menyikat rambut seorang wanita yang sedang asyik bermain dengan anak patung. Kemudian, lelaki itu menyuapkannya makanan. Sambil menyuapkan makanan, lelaki itu membelai rambut dan mengusap-usap pipi wanita itu. Tiba-tiba, wanita itu menjerit dan menangis sekuat hati sambil memeluk anak patungnya. Lelaki itu segera memeluk untuk menenangkannya.

"Kesian.." ujar pengawal itu.

"Setiap pagi dan petang Encik Amar akan singgah ke sini. Hantar makanan dan melawat isterinya.." tambahnya lagi.

Anita tergamam mendengar kenyataan itu. Matanya terus memerhatikan drama di dalam bilik besar itu dari luar. Jefri menyedarinya dan membiarkan Anita bersendirian. Dia berundur selangkah ke belakang mendapatkan pengawal keselamatan itu.

"Macam mana keadaannya..?" soal Jefri perlahan

"Tak berubah encik..macam dulu jugak.." jawab pengawal tersebut ringkas.

"Memang kesian, lima tahun tunggu nak dapat anak..bila dah dapat, sekelip mata Tuhan ambil balik.." tambahnya lagi.

"Itulah satu-satunya anak mereka.." balas Jefri.

"Ibu mana yang boleh terima bila tengok anak sendiri mati depan mata, encik?.." tambah pengawal itu lagi.

Anita sekali lagi tersentak mendengar perbualan tersebut. Matanya mulai berair. Namun, masih tidak berkelip sejak dari tadi sambil memerhatikan gelagat lelaki itu yang sedang membelai seorang wanita dalam pelukannya.

"Encik ni satu tempat kerja ke?.." soal pengawal itu pula.

Jefri sekadar mengangguk.

"Encik tak nak masuk?.."

"Eh, tak apalah..kami singgah sekejap saja.."

"Terima kasih, encik. Kami nak balik dulu.." ujar Jefri lagi sambil menyerahkan kembali pas pelawat.

Dia kemudiannya mencuit bahu Anita dan bergerak menuju ke kereta. Anita mengekorinya dari belakang. Jefri memandu keluar dari perkarangan kawasan tersebut. Dalam perjalanan pulang, Anita tidak henti-henti menangis. Jefri membiarkannya. Jauh di sudut hatinya terbit rasa bersalah kerana membawa Anita ke tempat tersebut. Namun, dia berharap agar Anita akan dapat mengetahui sesuatu mengenai Amar iaitu kasih sayang seorang suami terhadap isterinya tidak akan luntur walau dipalit seribu duka.

~TAMAT~


    Waktu Belalang

    Kalendar Belalang

    Komuniti Belalang

    Yahoo! Belalang

    Tuan Tulis


    Tetamu Belalang1

    hit counter


    Tetamu Belalang2

    visitors by country counter


    Subscriber Belalang

    Pengikut Belalang

    Promote Belalang

    Sembang Belalang



    Blog ini..

    Ranking Belalang

    Calculator Belalang

    Currency Belalang

    Muzik Belalang