Novel : Semalam Yang Hangat - bab 1 : episod 1

Kedengaran Azan subuh berkumandang. Getar suara hamba Allah yang melaungkan azan itu singgah ke telinga Said. Bingkas dia bangun dan mandi. Sesudah mandi, dikejutkan pula isterinya untuk mereka sama-sama menunaikan solat subuh.

Selesai solat subuh, Said dan isteri menadah tangan memanjat kesyukuran dan memohon segala kebaikan. Kemudian, dia segera bersiap untuk ke tempat kerja. Manakala isterinya, Batrisya pula menuju ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi buat bekalan suaminya. Melihatkan suaminya baru hendak memakai baju, Batrisya segera mendapatkan suaminya.

“Abang nak sarapan apa pagi ni?..” tanya Batrisya manja.

Tubuh suaminya dirangkul dari arah belakang. Said tersenyum saat dirinya dipeluk begitu. Terasa indahnya kehidupan setiap kali mendapat pelukan daripada seorang isteri. Tenang jiwanya saat dipeluk begitu. Said memusingkan badannya dan membalas pelukan Batrisya.

“Sayang masak la apa-apa. Abang tak kisah..” balas Said sambil tersenyum.
“Abang bersiaplah dulu. Sayang siapkan sarapan ye..” balas Batrisya lalu mencium pipi suaminya.

“Abang dah siap nanti, tolong kejutkan Alisya ye..” ujarnya lagi .
Dia kemudiannya beredar semula ke dapur. Said mengekori isterinya dengan ekor mata. Sebaik kelibat isterinya hilang dari pandangan mata, Said kembali mengenakan pakaiannya.

“Alisya.. Bangun, sayang..” Said mengejutkan anaknya yang berusia 6 tahun itu.
Si kecil itu mengeliat. Kemudian menyambung kembali tidurnya. Said tersenyum memerhatikan gelagat anaknya itu. Dikejutnya Alisya sekali lagi.
“Ala, ayah ni..”
“Bangunlah, sayang.. Nanti lewat nak pergi sekolah..” pujuk Said lembut.
“Eemm…” rengek Alisya manja

Sekali lagi Alisya menggeliat. Badannya bergolek ke kiri ke kanan. Dia berasa tidak selesa apabila dikejutkan tatkala sedang tidur. Terasa seperti diganggu. Melihat telatah anaknya itu, Said meniup perlahan-lahan ke telinga anaknya. Alisya mengusap telinganya kerana geli.

Said memerhatikan sahaja kelakuan anaknya itu. Sebentar kemudian dia tersenyum. Perlahan-lahan Alisya membuka matanya.

“Selamat pagi..” ucap Said tatkala melihat anaknya sudah mula membukakan mata.
Alisya kemudiannya menggosok-gosok mata. Kecil saja kelopak matanya dibuka. Said segera mencuit perut anaknya. Anak itu ketawa kerana geli dibuat begitu. Said tersenyum. Suka melihat anaknya begitu. Sekali lagi diusiknya anak itu dan sekali lagi anak itu ketawa.

Kali ini kelopak mata anaknya sudah terbuka luas menandakan anak kecil itu sudah benar-benar terjaga dari tidur. Said segera mendapatkan isterinya.
“Ibu, Alisya dah bangun ni..” Said memanggil manja isterinya.
“Kejap, ibu datang ni..” laung Batrisya dari dapur.

Sebentar kemudian, Batrisya sampai di bilik tidur anaknya. Dengan wajah yang ceria dia segera mendapatkan anaknya.

“Ha.. Anak ibu dah bangun ye.. Jom kita mandi..” ujarnya.

Alisya sememangnya anak yang tidak banyak kerenah. Itu memudahkan Said dan Batrisya mengurusnya. Alisya menghulurkan kedua tangannya minta didukung. Said memberi isyarat mata kepada isterinya. Batrisya segera mendukung anaknya dan menuju ke bilik mandi.

“Ayah, jom la mandi sekali..” rengek Alisya manja.
“Ayah dah mandi la. Ayah tunggu Alisya ye..” balas Said sambil tersenyum.

Matanya memerhatikan gelagat anaknya tatkala didukung ke bilik mandi. Melihatkan gelagat itu, Said terkenangkan saat-saat di mana ibunya mengejutkan di subuh hari semasa bersekolah dahulu. Kemudian, dia segera bangun menuju ke tingkap.

Diperhatikannya sekitar kawasan perumahan itu dari tingkap rumahnya. Langit masih gelap. Namun, kenderaan sudah banyak di jalan raya. Beratur memanjang di sepanjang jalan sebelum berhenti di lampu isyarat. Kelihatan beberapa kenderaan cuba mengambil jalan singkat dengan memotong barisan.

Semakin kelam kabut keadaan di jalan raya ketika itu. Jalan yang mempunyai dua lorong kini menjadi tiga lorong. Semuanya berebut-rebut hendak sampai cepat ke destinasi. Pastinya pemandu kenderaan ini tinggal berjauhan dari tempat kerja. Mungkin kerana itulah mereka perlu keluar awal supaya tidak tersangkut dalam lautan kenderaan.

Itulah lumrah kehidupan di bandar besar. Siapa yang lambat akan ketinggalan. Said merenung jauh ke langit biru. Dia memanjatkan syukur ke hadrat Ilahi kerana rezekinya begitu murah hingga ke hari ini. Sehingga ke hari ini, dia dapat mengecap nikmat kesenangan.

Said menghela nafas. Suatu masa dahulu, dia pernah melalui sebuah kehidupan yang sukar. Dia pernah merasa susah. Dia pernah mengalami badai dalam hidupnya. Berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa, kini Said sudah boleh berbangga dengan kehidupan yang dimiliki sekarang.

Semua itu berkat kesabaran dan ketabahannya. Cerita disebalik kehidupan yang dimiliki Said pada hari ini sebenarnya ditunjangi oleh isterinya, Batrisya. Dialah yang selama ini menjadi tulang belakang kejayaan Said. Wanita hebat inilah yang bertanggungjawab terhadap kesenangan yang dinikmati Said pada hari ini.

Walaupun tidak sehebat orang lain yang lebih berjaya daripadanya, Said tetap bersyukur. Syukur kerana diberi peluang dan kesempatan untuk membuktikan kewibawaan diri. Syukur kerana dipertemukan dengan seorang insan yang sudi menjadi tulang belakangnya. Syukur kerana mempunyai seorang isteri yang hebat.

Said percaya akan kata-kata Batrisya dahulu, “..kita hidup di dunia ini cuma sekali sahaja. Buatlah sesuatu yang membanggakan dan nikmatilah detik itu..”. Kata-kata itu ditafsirnya. Kata-kata itu membuatkan Said termenung jauh. Jika tidak kerana kata-kata semangat itu, Said tak mungkin akan pergi sejauh ini.

Said memandang jauh ke luar tingkap. Matanya memandang sejauh yang boleh. Fikirannya berputar seolah-oleh cuba mendapatkan kembali memori silam. Ada sesuatu yang sedang bermain difikirannya ketika ini. Perlahan-lahan ingatan Said kembali ke dunia silamnya.

bersambung...
0 Responses

    Waktu Belalang

    Kalendar Belalang

    Komuniti Belalang

    Yahoo! Belalang

    Tuan Tulis


    Tetamu Belalang1

    hit counter


    Tetamu Belalang2

    visitors by country counter


    Subscriber Belalang

    Pengikut Belalang

    Promote Belalang

    Sembang Belalang



    Blog ini..

    Ranking Belalang

    Calculator Belalang

    Currency Belalang

    Muzik Belalang