Terlerai Kasih

Rahimah termenung sendirian di anjung rumah. Menghitung hari-hari yang sunyi yang dilalui di rumah kayu yang kian usang dimamah usia. Suatu ketika dahulu, dirinya menjadi kegilaan setiap pemuda di kampung itu. Rahimah mempunyai susuk tubuh yang cantik. Dengan perwatakan yang menarik dan sedikit berharta, maka tak hairanlah dirinya sering menjadi siulan setiap pemuda di kampungnya termasuklah suami orang yang berhidung belang.

Namun, dalam puluhan jejaka yang cuba menyelinap di lubuk hatinya, cuma Syafiq seorang yang berjaya membuatkan hatinya tertawan. Syafiq bukan sahaja kacak dan tampan. Malah, Syafiq jauh lebih bijak dan matang berbanding pemuda-pemuda lain.

Ini membuatkan rakan-rakan Syafiq cemburu akan dirinya yang dapat memenangi hari Rahimah. Saban hari, Syafiq menjadi topik sindiran rakan-rakannya setiap kali mereka bertemu.

"Wah!, beruntunglah kau dapat awek panas kat kampung ni..ha.ha.ha.." ujar Najib berbaur sindiran diikuti gelak ketawa bersama rakan-rakan yang lain.

"Kalau aku jadi kaulah, Syafiq. Sebulan aku tak turun katil tau..ha.ha.ha.." sambungnya lagi.

"Jangan lama-lama Syafiq, nanti berkarat!.. kah.kah.kah.." sampuk Udin sambil ketawa yang menampakkan gigi depannya yang lompong akibat terlalu banyak menghisap rokok

Kali ini makin rancak rakan-rakannya bergelak ketawa. Panas hati Syafiq apabila disindir begitu.

"Dah rezeki aku. Itulah kau. Dulu aku suruh belajar tinggi-tingi tak mau. Tengok, Imah pun tak pandang kau tau.." balas Syafiq.

Udin dan Najib terdiam. Rakan-rakan yang lain turut terdiam. Syafiq tersenyum sendirian di dalam hati. Gembira kerana berjaya juga dia kenakan Najib yang terkenal dengan sindiran pedas setiap kali berkata-kata tidak kira dengan siapa dia berhadapan.

"Betul ke, abang cakap macam tu kat Najib?.." soal Rahimah ketika Syafiq menceritakan hal tersebut.

"Betul, Imah. Ada ke dia cakap buah hati abang ni 'awek panas' kat kampung ni.." ujar Syafiq

"Hati mana yang tak marah kalau semua orang cakap Imah macam tu.." sambungnya lagi

Rahimah sekadar tersenyum. Gembira kerana dia tahu Syafiq amat menyayangi dirinya. Gembira kerana Syafiq menunjukkan rasa cemburunya itu bertempat.

"Kenapa Imah tersenyum?.."

"Tak ada apa-apa.." Rahimah menyembunyikan isi hatinya.

"Habis tu?.."

"Habis tu apa?.."

"Kenapa Imah tersenyum?.."

"La.. Tak boleh ke?.."

"Bukan tak boleh. Tapi, sekurang-kurangnya bagi taulah. Senyum sorang-sorang tak baik tau. Nanti apa pulak orang lain cakap kalau dia orang nampak?.."

"He.he.he. Imah senyum sebab Imah tau abang sayangkan Imah.. Sebab tu abang cemburu bila orang lain cakap pasal Imah. Kan?.." jelas Rahimah.

Senyuman manis seperti biasa terukir rapi di wajahnya. Senyuman yang membuatkan raut wajah gadis itu kelihatan anggun. Syafiq mengusap wajah gadis pujaan. Sesekali Syafiq membetulkan rambut Imah yang terbang ditiup angin kerana menghalang pandangan matanya daripada menatap sepuasnya wajah buah hatinya itu.

"Imah.."

"Ya, bang.."

"Abang ingat, bulan depan nak suruh mak dan ayah masuk meminang Imah.."

"Hah?!.." terbeliak mata Rahimah kerana separuh terkejut. Tetapi dia sebenarnya gembira mendengar perkhabaran itu.

"Tak kan kita nak jadi macam ni samai ke tua tanpa ikatan.." ujar Syafiq lagi.

"Imah tak kisah. Cuma abang je.. Dah cukup ke persediaan?.." soal Rahimah tersipu-sipu

"He.he.he.. Nakal.." ujar Syafiq sambil mencubit manja pipi Rahimah.

Mereka berdua saling tersenyum. Kemudian, Syafiq marik nafas dalam-dalam. Kali ini dia sedikit serius.

"Abang dah sedia segala-galanya. Cuma.."

"Cuma apa, bang?.."

"Cuma duit je yang tak cukup lagi.."

"Habis tu macam mana?.."

"Entahlah. Nanti abang cuba pinjam daripada bank.."

"Ish, tak payah, bang. Buat apa pinjam kat bank. Setakat nak kawin je..."

"Habis tu?. Abang mana cukup duit nak buat belanja.."

"Tak apa. Imah ada lima belas ribu dalam simpanan. Abang ambil separuh buat belanja.."

"Ish.. Tak maulah.."

"Ala, Imah ikhlas la, bang. Kalau nak harap abang buat loan, nanti kena potong gaji. Lepas kawin nak banyak nak pakai duit tau.."

"Em, kalau macam tu.. Terima kasih, Imah. Abang tau Imah memang baik orangnya. Beruntung abang dapat isteri macam Imah.."

"Eh, bukan isteri ye.. Bakal isteri..Tolong sikit.."

"He.he.he.. Lupa pulak. Belum nikah lagi.."

Sebulan berlalu, selepas majlis pertunangan selamat dijalankan, Syafiq dan Rahimah sama-sama bergandingan menuju ke pelamin diikuti paluan kompang. Masih segar di ingatan Rahimah ketika itu tatkala Syafiq mencium lembut dahinya dan menyarungkan sebentuk cincin tanda terjalinnya ikatan dua hati.

Tidak sampai setahun usia perkahwinan, Rahimah disahkan mengandung. Pengalaman pertama yang dilalui sebagai bakal ibu membuatkan hati Rahimah berbunga-bunga. Tanda kasih sayang mereka berdua disinari dengan kehadiran penyeri yang bakal lahir tidak lama lagi.

Namun, kegembiraan itu hanya dirasai oleh Rahimah seorang. Syafiq mula berubah sikap sejak Rahimah disahkan mengandung. Syafiq semakin liar. Setiap malam akan pulang lewat. Kadang-kadang dia balik dalam keadaan yang berbau busuk akibat terlalu banyak minum arak. Solat sebagai tiang agama sudah lama diruntuhkan dalam hatinya.

Rahimah begitu kecewa dengan perubahan sikap suaminya yang dahulu seorang yang penyayang dan soleh tetapi berubah menjadi hamba syaitan dalam sekelip mata. Rahimah pernah cuba menegur. Tetapi, Syafiq tidak dapat menerima teguran itu dengan hati yang terbuka. Sebaliknya, Rahimah mendapat sepak terajang Syafiq.

Pernah suatu malam Rahimah terlantar kesakitan akibat terjatuh semasa mencuci pakaian di bilik air. Tetapi Syafiq tiada di rumah kerana sedang berseronok di sebuah kelab malam bersama rakan-rakan yang lain. Hidup Syafiq bagaikan orang bujang ketika itu.

Mujurlah ada jiran yang prihatin dan mendengar jeritan Rahimah lalu menghantarnya ke hospital. Mujur jugalah akibat daripada kecelakaan itu, Rahimah tidak mengalami keguguran. Namun, perangai Syafiq tetap tidak berubah. Malah semakin menjadi-jadi.

Sehinggalah di suatu malam, Syafiq pulang dalam keadaan mabuk. Turut pulang bersamanya adalah seorang gadis yang sekadar mengenakan skirt paras paha dan berbaju belah ditengah yang menampakkan lurah. Bulat mata Rahimah melihat tindakan suaminya membawa pulang gadis bukan muhrim di dalam rumah.

"Ke tepilah!.." tempik Syafiq ketika Rahimah menghalang mereka berdua daripada masuk ke rumah.

Syafiq terus masuk ke dalam rumah bersama gadis yang sedari tadi dipeluk ciumnya. Mereka berdua seperti sudah tidak dapat mengawal nafsu lalu bercumbuan di ruang tamu rumah itu. Geli Rahimah melihat adegan itu. Namun, apalah daya. Dengan perut yang sedang sarat, Rahimah cuma mampu mengalirkan air mata.

Syafiq tidak memperdulikan semua itu. Perlahan-lahan tubuh gadis yang dibawa pulang itu dijamah dengan penuh nafsu. Berjujuran air mata Rahimah melihat perlakuan suaminya. Hancur hatinya. Tergamak suaminya berlaku sumbang.

Setelah puas, Syafiq menuju ke biliknya dan keluar bersama sebuah beg besar. Rahimah terkejut dengan tindakan suaminya itu.

"Abang nak pergi mana dengan beg ni?.."

"Aku nak keluar dari rumah ni.."

"Kenapa, abang?.."

"Aku dah bosan hidup dengan kau!.."

"Sampai hati abang cakap Imah macam ni.." ujar Rahimah lemah dengan linangan air mata yang laju membasahi pipi.

Syafiq mengemas pakaian dan mengambil segala pakaian di bilik dan disumbat ke dalam beg. Gadis yang dijamahnya tadi turut membantu memudahkan kerja Syafiq. Rahimah cuba bagkit, tetapi perutnya sakit.

"Jangan tinggalkan Imah macam ni, bang.." rayu Rahimah lantas memeluk kaki suaminya.

"Ke tepilah!.." tempik Syafiq meronta-ronta supaya kakinya dilepaskan.

Namun, Rahimah tetap enggan melepaskan kaki suaminya. Dirangkul erat kaki suaminya. air mata Rahimah semakin laju menitis dari bucu kolam matanya. Hatinya hancur luluh. Perasaannya begitu hiba diperlakukan sedemikian.

"Aku kata lepas, lepaslah!!.." bentak Syafiq lagi.

Kali ini kata-kata itu diikuti dengan satu terjahan keras yang singgah ke muka Rahimah.

"Aduh!!.." jerit Rahimah.

Namun, tangannya masih kuat memegang kaki Syafiq. Gadis yang dibawa Syafiq tadi kelihatan sudah keluar bersama sebuah beg berisi pakaian Syafiq. Di tengah laman rumah, kedengaran bunyi kereta yang telah dihidupkan. Hati Rahimah semakin kuat berdebar.

Jiran-jiran sebelah mulai keluar rumah menyaksikan drama yang berlaku antara suami isteri itu. Mereka tidak berani masuk campur urusan rumah tangga tersebut kerana bimbang dengan tingkah laku Syafiq yang baran secara tiba-tiba.

"Tolonglah, bang. Imah merayu.. Jangan tinggalkan Imah macam ni, bang.." rayu Rahimah lagi.

"Ah!. Lepaslah.. Aku dah bosan hidup dengan kau!!.."

"Tapi, apa salah Imah, bang?.."

"Hey, betina!!.. Dengar sini, aku kawin dengan kau sebab aku nak berseronok dengan kau aja!.. Aku nak kan tubuh kau dan duit kau aja.. Yang lain tu, pergi jahanamlah!!.."

"Astaghfirullahalazim.. Bawak mengucap, bang. Ingat Allah.."

Syafiq semakin hilang sabar. Rambut Rahimah ditariknya sehingga mendongak kepala wanita malang itu menghadapnya.

"Perempuan sial!.. Mulai hari ini, aku ceraikan kau!.." ucap Syafiq dengan kuat.

Dia menumbuk muka wanita yang baru diceraikannya itu berkali-kali sehingga berdarah. Rahimah semakin lemah. Kesempatan itu diambil Syafik untuk melepaskan kakinya. Rahimah cuba memegang semula kaki suaminya. Dengan pantas Syafiq mengenakan beberapa sepakan padu ke perut Rahimah.

Rahimah menjerit dan mengaduh setiap kali disepak terajang oleh Syafiq. Meraung-raung Rahimah dalam kesakitan. Syafiq lantas keluar rumah dan menuju ke kereta. Orang kampung semakin ramai berkerumun di halaman rumah. Syafiq terus masuk ke perut kereta dan meninggalkan perkarangan kawasan itu.

Sebaik Syafiq hilang dari pandangan, beberapa orang wanita dilihat masuk ke dalam rumah dan mendapatkan Rahimah. Keadaannya agak parah. Mukanya lebam dan berdarah. Rahimah menahan kesakitan di perutnya. Darah mulai keluar dari celah kelangkangnya. Beberapa orang wanita di situ memahami situasi itu. Rahimah bakal melahirkan anak. Mereka tidak sempat untuk menghantarnya ke hospital lagi.

Berkejaran beberapa orang wanita ke dalam rumah itu. Ada yang masuk ke bilik mendapatkan beberapa helai kain batik dan ada yang menjerang air panas. Rahimah menjerit kesakitan. Keadaan menjadi kelam kabut di dalam rumah. Akhirnya...







**********






"Apa yang ibu menungkan tu?.." tegur Zalina yang baru pulang dari sekolah.

Lamunan Rahimah terhenti. Dia yang tersentak dengan teguran anaknya segera mengesat air mata yang mengalir membasahi pipi. Dia tidak mahu anaknya menyedari hal itu.

"Eh, tak ada apa-apalah. Dah balik pun anak mak ni.. Lapar tak?.." soal Rahimah dengan senyuman manis terukir di bibir.

"Ina laparlah, bu..."

"Ha, kalau macam tu, jom masuk ke dalam. Ibu dah masak sup ikan merah untuk Ina.."

"Wah!, mesti sedap. Jomlah. Ina dah tak tahan ni.."

Dua beranak itu masuk ke dalam rumah untuk menikmati hidangan tengah hari. Rahimah pula meninggalkan kenangan pahit yang melukakan hati di anjung rumahnya. Itulah pengalaman hidup yang harus dilaluinya.

Selepas menempuhi sebuah kehidupan yang sukar, Rahimah bangkit dari kegagalan silam. Walau ramai lelaki di luar sana yang cuba mengetuk pintu hatinya, Rahimah tetap dengan pendiriannya bahawa lelaki tidak boleh dipercayai.

Rahimah membulatkan tekad. Walau apa pun terjadi selepas ini, dia akan tetap membesarkan Zalina dengan penuh kasih sayang. Dia tidak mahu Zalina turut menjadi seperti dirinya suatu hari kelak.

~TAMAT~


3 Responses
  1. Anonymous Says:

    berhidung belang ker yg mcm incik belalang!


  2. Jo Qusary Says:

    usah risau incik kf... cikgu belalang hidungnya tak belang, tapi mcm hidung belalang hehehe


  3. RerameUngu Says:

    Pergh..mantap la chekgu...hehehe..tahinaaahh..heheh..
    kan best kalo de penyambung..hohoho


    Waktu Belalang

    Kalendar Belalang

    Komuniti Belalang

    Yahoo! Belalang

    Tuan Tulis


    Tetamu Belalang1

    hit counter


    Tetamu Belalang2

    visitors by country counter


    Subscriber Belalang

    Pengikut Belalang

    Promote Belalang

    Sembang Belalang



    Blog ini..

    Ranking Belalang

    Calculator Belalang

    Currency Belalang

    Muzik Belalang